Saturday, May 24, 2008

Memilih Calon Isteri Anjuran Rasulullah s.a.w

Tahukah anda wahai insan bergelar wanita, betapa sukarnya pada masa ini untuk mencari seorang individu dari kalangan anda untuk dijadikan seorang isteri yang benar-benar solehah iaitu yang baik aspek agamanya. Lalu, sang lelaki kebanyakannya menghadapi kesukaran untuk membuat pilihan antara wanita yang kebanyakan atau harus terus menunggu dalam usaha pencarian wanita solehah sehingga memakan masa yang panjang. Kerana lamanya menunggu kelibat wanita solehah. Kemungkinan wanita solehah ini duduknya sememangnya sentiasa di rumah agaknya. Hakikatnya itulah yang terbaik sebenarnya.

Berikut adalah merupakan sedikit perkongsian yang telah saya selidiki dan perolehi daripada beberapa buah buku yang mana dengan harapan boleh dijadikan rujukan sama ada buat si pemuda atau perempuan umumnya.

Kepada si lelaki, mungkin tulisan ini mampu menjadi rujukan dalam usaha membuat penilaian terhadap karektor seorang wanita yang baik yang harus dipilihnya.

Manakala, bagi seorang perempuan, mungkin boleh dijadikan sebagai panduan untuk memperbaiki diri agar anda sentiasa tergolong dalam rangkaian dan barisan wanita yang solehah dan bakal dipilih oleh juga pemuda yang soleh. Insya'ALLAH...

Dalam persoalan ini,

Apabila seorang pemuda telah menemukan atau hendak menemukan seorang calon isteri yang dipandangnya sepadan dan berkenan di hati, hendaklah ia memeriksa sifat yang terpuji dan kriteria pegangan agama yang ada padanya. Janganlah kita hanya memfokuskan semata-mata kepada karektor duniawi, kekayaan, kecantikan dan kedudukan. Kerana di dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w., seseorang wanita itu sebaiknya dipilih untuk dinikahi adalah kerana berdasarkan agamanya yang baik dan bukannya karena karektor selainnya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda:

“Wanita dinikahi karena empat perkara; karena hartanya, karena kedudukannya/keturunannya, karena kecantikannya dan keranan agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))

Ini kerana, dengan karektor agama yang baik inilah sebenarnya ia mencakupi segala faktor-faktor yang lainnya. Dengan aspek agama yang baik ini, keindahan akhlaknya terserlah, kecantikannya terjaga dan terpelihara, malahan martabat dan kehormatannya berbanding wanita di kancah masyrakat kebanyakan juga tinggi nilainya.

Secara umumnya, mereka yang baik agamanya dan lebih taqwanya adalah mulia dan dipandang tinggi di sisi Allah s.w.t.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu...” (al-Hujuraat 49: 13)

Sahabat-sahabat yang saya sayangi, di sini ingin saya nyatakan bahawa faktor atau aspek kecantikan itu bukanlah tidak diperlukan. Tetapi yang ingin saya maksudkan adalah janganlah sehingga kita membataskan semata-mata keinginan kita kepada kecantikan, kerana ia bukanlah prinsip yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. sendiri dalam persoalan pemilihan pasangan Isteri.

Dalam hal ini, Sheikh al-‘Azim Abad di dalam kitab ‘Annul Ma’buud Syarh Sunan Abi Daud, ada menyatakan bahawa yang sewajarnya dipilih adalah wanita yang baik agamanya dan memiliki adab yang baik agar kelak berupaya menjadi pertimbangan kepadanya dalam pelbagai urusan kehidupan, terutamanya dalam urusan rumahtangga. Oleh kerana itu, Nabi s.a.w. memerintahkan supaya mencari wanita beragama yang merupakan puncak kepada pencarian (keutamaan pilihan).

Dengan merujuk pula kepada firman Allah s.w.t. berikut:


فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ

“Maka Wanita yang solehah, ialah yang ta’at kepada Allah lagi memelihara dirinya (kehormatannya) ketika suaminya tiada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka)." (Surah an-Nisaa’ 4: 34)

Sufyan ats-Tsauri berkata (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dalam Tafsirnya (5/38) dengan sanad yang shahih): Kalimah “Qaanitaat/ قَانِتَاتٌ” membawa maksud wanita yang taat kepada Allah dan kepada suaminya.”

Nabi pernah ditanya tentang sebaik-baik wanita, yang mana Baginda bersabda:

“Iaitu yang taat apabila diperintah, yang menyenangkan apabila dipandang serta menjaga diri dan harta suaminya.” (Hadits bertaraf sahih, diriwayatkan oleh imam Ahmad (4/341))

Bertepatan dari anjuran hadis Rasulullah ini, maka keutamaan kita dalam memilih calun isteri adalah menjurus kepada wanita yang baik urusannya dalam menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya, sama ada ketika berada di sisi suami, keluarga ataupun di ketika waktu ketiadaan suaminya, secara zahir dan batin yang didasari hati yang bersih serta suci lantaran kesan pegangan agamanya.

Dari kalangan tabi’in, Qatadah bin Di’aamah As-Saduusi pula berkata: “(Wanita yang septutnya menjadi pilihan) Adalah yang menjaga apa-apa yang telah Allah serahkan agar dijaga dari hak-hak suaminya. Menjaga dirinya saat suaminya tidak berada di sisinya.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir (5/39) dengan sanad yang shahih)

Telah disebutkan di atas tentang sifat sebaik-baik wanita iaitu,

“Serta menjaga diri dan harta suaminya.”

Abdullah bin Amru r.a. berkata: “Mahukah kalian aku beritahu tentang tiga jenis manusia yang celaka:

(iaitu) Imam yang zalim, bila engkau berbuat baik kepadanya ia tidak berterima kasih, jika engkau berbuat salah kepadanya ia tidak memaafkan. Tetangga/jiran yang jahat, jika ia melihat kebaikan padamu ia tutup-tutupi, jika melihat keburukan padamu ia menyebarkannya.
Isteri yang buruk tabiatnya, jika engkau berada di sisinya ia membuatmu gusar/tidak senang. Dan bila engkau tidak berada di sisinya ia berkhianat.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam kitab Al-Mushannaf (3/559) dengan sanad yang shahih)

Seterusnya, carilah wanita yang memiliki sifat-sifat yang penyayang. Semua ini mampu memberi infect atau kesan yang baik kepada anak-anak kelak serta kepada hati suami yang utamanya. Dalam hal ini,

Nabi s.a.w bersabda: “Nikahilah oleh kalian wanita yang penyayang lagi subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kalian yang banyak di hadapan umat-umat lain pada hari Kiamat.” (Hadis Sahih, diriwayatkan oleh al-Khathib al-Baghdaadi dalam Tarikh Baghdad (12/377))

“Sebaik-baik wanita yang menunggang unta adalah wanita-wanita yang solehah dari suku Quraisy, mereka adalah wanita yang paling sayang kepada anak-anak sewaktu masih kecil dan yang paling menjaga hak dan harta suami.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhaari (3/240))

Begitulah sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri perihal keutamaan sikap penyayang pada seorang wanita. Dengan sifat inilah, anak-anak nantinya mampu dididik dengan baik dan penuh perhatian serta kasih sayang seorang ibu. Di sana, peranan ibu adalah suatu keutamaan yang besar sebagai pendidik awal setiap anak-anak yang dilahirkan di dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Dari sinilah bermulanya jati diri anak-anak dibentuk untuk menjadi manusia yang baik di masa hadapan. Dengan gabungan faktor kesolehan seorang wanita yang di-adun dengan sikap amanah, berilmu dan kasih sayang seorang wanita, sudah pasti sesebuah rumahtangga mampu menjadi suatu medan atau institusi yang berkesan dalam melahirkan masyarakat yang islamic dan berdaya maju dari konteks tauhid, ubbudiyyah, mu’amalah, dan material.

Dari sifat yang penyayang juga, ia berupaya melahirkan sikap yang menyenangkan. Dan kriteria ini jugalah yang dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana dalam hadisnya tadi, iaitu

“...yang menyenangkan apabila dipandang...”

Peribadi wanita yang bersifat menyenangkan ini apabila dipandang dan bergaul dengannya mampu menjadi penenang dan penunduk hati suami dan keluarga dalam pelbagai urusan rumahtangga. Sifatnya yang elok dipandang mampu mengawal hati suami dan kelak kepada anak-anak untuk sentiasa berperasaan suka dan mendamaikan suasana. Lantas melahirkan satu persekitaran yang harmoni di dalam sesebuah kekeluargaan.

Di samping sifat penyayang dan peribadi yang menyenangkan, faktor untuk mencari wanita yang mampu melahirkan anak yang baik atau faktor kesuburan juga adalah merupakan salah satu kriteria yang dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri.

“Nikahilah oleh kalian wanita yang penyayang lagi subur...”

Dari sudut ini, kelangsungan hidup manusia dan generasi soleh/solehah akan dapat diteruskan melalui kelahiran zuriat-zuriat yang baik. Lantas, dari zuriat yang soleh/solehah (muslim ini) ia berupaya untuk menjaga aspek keturunan dari generasi ke generasi untuk membentuk masyarakat yang menegakkan syari’at Allah, meninggikan agama, memakmurkan alam semesta, dan memperbaiki kehidupan di muka bumi. (Rujuk: Menjaga Kehormatan Muslimah, sheikh Bakr Abdullah Abu Zaid, Daar an-Naba', m/s. 150-151)

Dari sini juga, kita dapat melihat betapa besarnya peranan wanita kepada ummah dan masyarakat sejagat dalam membina ketamadunan dunia. Wanita sebenarnya adalah merupakan akar umbi dan tonggak kepada pelbagai kejayaan generasi manusia.

Jika dilihat kepada sirah di zaman nabi dan para sahabat. Ibu-ibu yang tempatnya di rumah yang mana kefahaman agamanya baik-baik, merupakan faktor yang yang menjadi tonggak kejayaan masyarakat pada zaman itu. Dari didikan seorang wanita yang solehah, lahirnya ramai sekali panglima-panglima perang yang gagah perkasa dan bijaksana dalam mengatur pelbagai strategi ketenteraan. Malah, mampu membina generasi yang handal di medan tempur dan melahirkan para syuhada yang ikhlas dan tulus perjuangannya kepada agama Allah. Dengan didikan para ibulah, lahirnya ramai golongan ulama atau ilmuan tersohor yang sentiasa disebut-sebut namanya sehingga kini.

“Dan para wanita itu mempunyai hak yang seimbang seperti kewajiban yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang ma’aruf (dan tidak dilarang oleh syara’); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah 2: 228)

Dari sini juga kita dapat melihat bagaimana terjalinnya hubungan antara kelebihan kaum wanita dengan kekuatan kaum lelaki sehingga keduanya akan saling melengkapi dengan masing-masing diberikan keistimewaan, keutamaan, dan tanggungjawab masing-masing.

“Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah 2: 228)

Anjuran Rasulullah s.a.w. yang seterusnya adalah difokuskan kepada gadis-gadis yang perawan/dara iaitu yang masih belum pernah berkahwin;

Ini adalah berdasarkan hadis Jabir bin Abdillah, ia berkata: “Aku baru saja menikah.

Lalu Rasulullah bertanya: “Dengan siapa engkau menikah?”

“Dengan seorang janda.” Jawabku.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Mengapa tidak dengan seorang gadis yang boleh engkau dapat bermain-main dengannya dan dia pun dapat bermain-main denganmu.”

Atau dalam riwayat yang lain beliau mengatakan: “Yang ia boleh membuatmu tertawa gembira dan engkau boleh membuatnya tertawa gembira.”
(Hadis Riwayat Bukhari (111/240) & Muslim (11/1078))

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata, di dalam Syarah Sahih Muslim (10/294): “Hadits ini menjelaskan tentang kelebihan menikahi gadis perawan/dara, dan menunjukkan bahawasanya menurut keutamaan menikahi mereka adalah lebih baik.”

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w., beliau bersabda: “Nikahlah dengan gadis perawan, kerana mereka itu lebih manis bibirnya, lebih subur rahimnya, dan lebih redha dengan yang sedikit.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, (no. 1861) di dalam kitab an-Nikah)

Dalam persoalan ini, dapat dibezakan di antara wanita yang janda dengan yang gadis kerana mungkin sahaja wanita yang janda ini sudah memiliki anak yang perlu dijagai dan memerlukan lebih perhatian kepada anaknya. Selain itu, mungkin juga dia sudah beberapa kali hamil dan akan memiliki kebarangkalian keletihan untuk hamil lagi dan memiliki hasrat untuk tidak mahu memiliki anak lagi. Mungkin juga ia mampu mengganggu hubungan seksual suami dan isteri kerana kebiasaannya wanita yang berstatus janda tidak cukup dengan hubungan/layanan yang sedikit. Berbeza dengan gadis yang masih belum pernah berkahwin, ia lebih mudah terangsang dan redha dengan layanan yang sedikit. (Rujuk: Indahnya Menikah ‘Ala Sunnah Nabi, Amru Abdul Mun’im Salim, Daar an-Naba’, m/s. 52)

Akhir sekali, suatu yang perlu di-ambil perhatian. Bahawasanya Allah dan Rasul-Nya melarang lelaki ataupun sebaliknya untuk menikahi atau mengahwini pasangan yang terdiri dari kalangan penzina. Tetapi pilihlah wanita yang mulia, suci dan terjaga kehormatannya sebagaimana yang dinyatakan di awal tulisan ini tadi,

“...yang ta’at kepada Allah lagi memelihara dirinya (kehormatannya).” (an-Nisa’ 4: 34)

Persoalan ini juga dijelaskan oleh Allah s.w.t. sebagaimana di dalam firman-Nya yang berikut:

“Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.” (an-Nuur 24: 3)

Dalam suatu riwayat, sebelum turunnya ayat ini seorang sahabat bernama Abu Martsad al-Ghanawi r.a. datang menemui Rasulullah s.a.w. meminta restu/keizinan untuk menikahi seorang wanita pelacur yang dahulunya semasa jahiliyyah adalah bekas kekasihnya (wanita itu bernama ‘Anaq). Dan sehinggalah turunnya ayat di atas (Surah an-Nuur 24: 3) Rasulullah s.a.w. menjelaskan “Jangan dinikahi wanita itu!” (Diriwayatkan oleh imam yang empat kecuali Ibnu Majah)

Ini antaranya adalah kerana wanita penzina dan pelacur itu boleh mengganggu urusan kebahagian sesebuah rumahtangga dan institusi kekeluargaan pasangan suami isteri. Malah status pelacur/penzina ini sendiri menurut Ibnu Umar r.a. adalah merupakan antara manusia yang celaka sebagaimana riwayat ini (telah dijelaskan di awal tulisan), “wanita yang apabila engkau tidak berada di sisinya ia berkhianat.”

Manakala menurut Hasan al-Basri rahimahullah; “Tidaklah halal dinikahi wanita penzina dan wanita simpanan.” (Diriwayatkan oleh Sa’id bin Mashur dalam as-Sunan (5/8) dengan sanad yang sahih)

Adapun begitu, andainya dia (wanita yang awalnya seorang penzina) merupakan dari kalangan wanita yang sudah bertaubat dan sudah meninggalkan perbuatan pelacuran, maka keharaman itu terhilang dan termansuh sebagaimana menurut Abdullah bin Abbas r.a.: “Awalnya zina akhirnya nikah, awalnya haram akhirnya halal.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (3/529) dengan sanad yang sahih)

Dan daripada firman Allah s.w.t.:

"...kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (an-Nuur 24: 5)

Shilah bin Asyyam rahimahullah berkata: “Tidak mengapa menikah keduanya samaada wanita atau pemuda dengan penzina yang telah bertaubat kepada Allah. Allah lebih berhak menerima taubat keduanya. Jika keduanya adalah penzina dan belum bertaubat, maka lelaki yang buruk pasangannya juga adalah dengan wanita yang buruk pula. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi syaibah (3/528) dengan sanad yang sahih)

Sebagai kesimpulan, membuat pilihan calun isteri bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh. Ia amat berat pada hakikatnya kerana ia bakal menjaga urusan dalam kekeluargaan yang diketuai oleh seorang lelaki bernama suami. Dan bakal menjadi pembimbing anak-anak atau zuriat yang kelak bakal dilahirkan. Kriteria-kriteria yang baik berserta kebijaksanaan dalam pelbagai bidang ilmu tertentu dan persoalan keagamaan perlu dilihat sebagai keutamaan supaya segala perjalanan kehidupan di masa mendatang bakal ter-urus dengan baik dan tersusun. Supaya kelak, kehidupan anda bersama keluarga bakal mengecapi suasana yang aman bahagia dan tenteram. Lantas mampu melahirkan masyrakat yang berhubungan dengan harmoni.

Antara ciri-ciri yang lain bagi calun isteri yang baik secara umum adalah seperti berilmu, sentiasa bersyukur, tahu menjaga hubungan yang baik dengan kaum keluarga kedua belah pihak, memiliki daya kepimpinan terhadap pengurusan rumahtangga dengan baik, memahami kehendak/keperluan suami, batas pergaulannya terjaga, dan sentiasa menjaga penampilan yang baik.

“Kebahagiaan manusia ada tiga: Wanita yang solehah, tempat tinggal yang baik, dan kenderaan yang baik. Sedangkan kesengsaraan manusia ialah: Wanita yang buruk (perangainya), tempat tinggal yang buruk, dan kenderaan yang buruk.” (Hadis Riwayat Ahmad (1/168), dengan sanad yang sahih)

Dan mereka berkata (berdoa): "Wahai Tuhan kami, anugerahilah kepada kami isteri-iesteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. (al-Furqan 25: 74)

Dan sebaik-baik wanita itu adalah mereka yang soleh dalam agamanya, sebagaimana hadis berikut:

“Dunia itu seluruhnya adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan dunia adalah isteri yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab ar-Ridha)

Sumber:

http://an-nawawi.blogspot.com/2007/11/memilih-calun-isteri-anjuran-rasulullah.html

p/s: Saya menyokong
cadangan dan gesaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) terhadap Kementerian Pelajaran agar menukar baju putih yang menjadi uniform pelajar sekolah sebelum ini kepada pakaian berwarna agar tidak menarik perhatian mata lelaki yang mengundang jenayah seksual. Ia adalah suatu yang sangat baik dan wajar. Mencegah lebih baik daripada mengubati

Friday, May 23, 2008

Baktisiswa Pembangunan Modal Insan

Alhamdulillah, baru hari ini Allah s.w.t memberi kesempatan untuk saya menulis sedikit di ruangan ini. Kami baru sahaja selesai dari Program Pembngunan Modal Insan di kampung Patau-Patau 2, Gersik/Saguking di Wilayah Persekutuan Labuan. Bersama dengan pelajar dari UUM, kami melakukan sedikit bakti kepada penduduk kampung. Tahniah kepada semua peserta.

Suasana di Kampus sudah berubah, semua pelajar sudah pulang ke Kampung masing-masing. Termasuk Ajk baktisiswa. Situasi yang sama berlaku juga dalam konteks negara Malaysia pada hari ini. Kepimpinan negara hari ini digesa untuk meletak jawatan kerana tidak mahu melihat Malaysia terumbang ambing dibawa arus deras. Banyak isu-isu yang lapok baru di korek dan digembar gemburkan. Bermula dengan isu rasuah, salah guna kuasa, isu jenayah, krisis hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara yang membabitkan tokoh-tokoh dan pemimpin negara . Harap-harap isu ini dapat di siasat secara telus bagi memberi keyakinan kepada rakyat setelah institusi kehakiman yang sudah tercalar teruk. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah s.w.t menganugrahkan pemimpin seperti Umar Bin Ibn Aziz di Malaysia, Insya’Allah.

Friday, May 16, 2008

Sabah oh Sabah

Sabah oh Sabah

Ketika manusia lain sedang asyik di buai mimpi indah, aku sempat menyiapkan sedikit artikel untuk dikongsi dengan semua pembaca. Alhamdulillah, aku bersyukur kepada empunya alam ini kerana telah mencampakkan aku ke tanah pulau Borneo ini. Suasana ini cukup berbeza dengan apa yang ada di tempat aku sendiri. Pembangunan jasad agak ketinggalan di sini. Sistem jaringan jalan raya, bangunan, air, elektrik, pendidikan, pengangkutan, peluang pekerjaan, hospitaliti, kemudahan asas adalah antara masalah-masalah yang terdapat di sini. Jika adapun, hanya sekitar bandar utama, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu. Walaupun mendapat kekangan dengan masalah ini, semangat anak-anak Sabah untuk menimba ilmu patut dipuji. Sahabat-sahabat Sabahan di sini memang cukup baik dan ramah. Walaupun mereka kurang pendedahan tentang pengetahuan agama, tetapi mereka ini tidak segan untuk bertanya dan selalu mencari dimana mereka boleh dapatkan ilmu ini. Semangat mereka ini sangat tinggi. Aku melihat Sabah ini merupakan sebuah ladang yang subur untuk melahirkan manusia yang dapat menyambung risalah kenabian. Cumanya sedikit sahaja mereka mendapat pendedahan berbanding di Semenangjung.

PRU-12

Kesan dan bahang PRU Ke-12 masih berterusan, walaupun sudah berlalu. Kemenangan Pakatan Rakyat (PR) rasminya menguasai 82 kerusi parlimen telah menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN).Umum juga sedia mengetahui bahawa kemenangan BN ini banyak dibantu oleh kerusi di Sabah.Rakyat Sabah perlu kepada pembelaan sewajarnya. Bukan di anak tirikan oleh bapa sendiri. Walaupun mempunya emas hitam yang banyak, tetapi penduduk Sabah adalah merupakan antara yang termiskin.Aku bukanlah hendak menuduh tanpa asas nya. Dengan pengalaman tinggal di sini, aku dapat merasai sendiri keadaan demikian. Seharusnya Rakyat/pemimpin Sabah berani untuk melakukan perubahan tentang perkara ini. Aku juga sempat mengikuti rakaman clip video sedutan dari Parlimen beberapa hari yang lepas tentang masalah ini. Hati aku juga terdetik untuk mempercayai perkara ini. Manusia boleh meramal dan membuat spekulasi bersandarkan isu-isu yang ada. Hakikat kebenaran datang daripada Allah.

Ketika BN mendakwa PR berangan-angan mahu mengambil alih pentadbiran negara, dalam masa yang terdekat, muncul Ahli Perlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman mengulas mengenai isu lompat parti. Begitu juga YB dari Kinabatangan dan Beluran. Kemudian selepas 7 Mei lalu di Perlimen muncul pulakenyataan terbuka Ahli Perlimen Kalabakan, Abdul Ghafur Salleh mengenai isu yang sama. Sama-sama kita saksikan

Hari ini, kami mengikuti program Bakti Siswa Pembangunan Modal Insan di beberapa buah Kg. di Labuan indah ini. Setiap peserta diberi keluarga angkat masing-masing. Harap-harap Mahasiswa yang datang jauh dari UUM dan UMS-KAL dapat berbakti kepada masyarakat. Tahniah kepada Pengarah program dan AJK pelaksana.


Tuesday, May 13, 2008

Aku, Mahasiswa dan Universiti


Maha suci Allah yang menguasai segala kerajaan ,dan Dia Mahakuasa atas sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Mahaperkasa lagi Mahapengampun,

Surah al-mulk;1-2

Suasana di Kampus semakin tenang dan hening. Bermula minggu lepas sudah ramai pelajar yang balik ke kampung halaman masing-masing. Setelah hampir setahun memerah otak untuk belajar. Tahniah kepada bakal-bakal garaduan pada bulan Ogos ini. Tinggal aku dan beberapa sahabat yang lain yang tak balik di sini. Teringat pula pada cuti semester panjang tahun lepas ,aku sempat pulang dan pergi menagih ilmu di Bait Qura’, Sungai Udang, Melaka. Mudir di sana Syekh Ustaz Zulkifli Ismail yang mengajar kami pada masa itu. Rasanya terlalu jahil dan kerdil kerana ilmu yang di beri itu sangat banyak.Tapi ini berlaku pada tahun lepas. Terasa rindu pula untuk belajar di sana. Tapi apakan daya, laut dan waktu menjadi penghalang. Tetapi inilah sebahagian makna dalam pengorbanan. Baru praktikal. Ini lah makna Tadhiyyah yang biasa disebut dalam Diskusi Ilmiah Mingguan(DIM). Gerak kerja di kampus menutup ruang aku untuk berseronok seperti orang lain yang sudah pulang ke kampung halaman untuk bercuti.Lupakan lah itu semua buat seketika...

Suasana Kampus

Ini lah suasana alam kampus yang telah aku cita-citakan sebelum ini. Aku pasti juga inilah yang diimpikan oleh setiap pelajar.Untuk mendapatkan segulung ijazah. Kerana ia merupakan klimaks kepada proses belajar. Teringt aku titipan bicara Sayyid Abul 'Ala Maududi (1903-1979) kepada kaum mahasiswa yang melihat universiti sebagai 'rumah penyembelihan' yang mencetak segulung 'sijil kematian'. Berikut adalah terjemahannya dalam bahasa Melayu:-

"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."

Tamat petikan ucapan Abul 'Ala al-Maududi.

Sama ada kita mahu bersetuju atau tidak, hal itu terpulang kepada pandangan masing-masing. Tetapi, jika diteliti dengan rinci terasa ada kebenaran dalam ucapan tersebut. Sebenarnya, apa peranan tertinggi kaum pelajar? Apa hubungan pelajar dengan masyarakat dan rakyatnya? Apa tujuan universiti ditubuhkan dan apa kaitan kena-mengenanya kaum kapitalis dengan universiti?

Tapi jangan lupa. Al-Maududi mungkin telah hilang kepercayaan ke atas universiti sebagai 'rumah penyembelihan'. Tetapi beliau masih menaruh harapan tinggi ke atas mahasiswa-mahasiswa yang diucapkannya sebagai:-

"Alangkah bertuahnya kepada mereka (mahasiswa) yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan."

Lalu, al-Maududi menyifatkan dirinya sebagai:-

Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."

Secara ringkasnya kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa al-Maududi mungkin hilang rasa percaya ke atas sistem pendidikan universiti, tetapi masih menaruh harapan tinggi ke atas para mahasiswa universiti. Sebab itulah beliau menafsirkan dirinya sebagai seorang pencari 'manusia (mahasiswa) yang masih hidup dalam timbunan mayat' di rumah penyembelihan yang bernama universiti.

Tapi, tidak diketahui apakah punca al-Maududi berkata demikian. Mungkin, beliau telah dihalau daripada memberi ceramah di universiti seperti UKM membatalkan ceramah mengenai Palestin kerana panel jemputannya dikatakan tidak serasi dengan pihak atasan UKM pada tahun lalu. Kebetulan pada masa itu aku sempat membuat lawatan Gerak Idealisme Merdeka (GIM) ke USIM, UPM, UKM, dan UUM.

Mungkin kecewa ke atas sejenis sistem berhutang yang dikenakan terhadap pelajar yang belajar di universiti yang mana kadar faedahnya (riba) membebankan pelajar sehinggakan hal itu diibaratkan beliau sebagai tindakan menyembelih pelajar laksana PTPTN menyembelih mangsanya?

Mahasiswa dan pensyarah yang tidak rela hidung mereka dicucuk untuk disembelih sudah pun menghidu bahawa pindaan Auku 1971 ini tidak bertujuan memansuhkan artikel 15 (1), (2), (3) dan lainnya yang memberi kebebasan kepada warga kampus berpolitik dan menjalankan kegiatan akademik yang ada kaitannya dengan politik negara.

Kepada golongan pakcik makcik kita yang pernah mengikuti silibus atau kurikulum usrah-usrah sejak 1970-an dahulu tentunya terdedah dengan kupasan al-Maududi dan Hasan al-Banna di dalam usrah mereka. Dalam erti kata lain, pemikiran al-Maududi dan al-Banna adalah seangkatan zaman.

As syahid Imam Hassan al-Banna juga melatakkan harapan yang tinggi terhadap golongan mahasiswa sehingga beliau membuat suatu muktamar rapat umum khas untuk menyampaikan wasiat kepada golongan pelajar. Maka, demikian juga dengan al-Maududi. Harapannya menggunung. Cuma, penyampaiannya sedikit berbeza bercampur nada kecewa.

Pelajar dan rakyat

Saban tahun, kita mendengar dan melihat paparan kisah pelajar sekolah rendah dan menengah yang mendapat keputusan terbaik dalam UPSR, SPM dan STPM. Di universiti, kita akan melihat hal yang sama berlaku. Tapi, dengan ilmu mereka, apakah masyarakat berubah menjadi baik?

Inilah madrasah tarbiyyah peninggalan Rasulullah s.a.w yang diwarisi oleh Hassan al-Banna dan al-Maududi. Misalkan Gua Hira' adalah 'universiti' terpencil tempat baginda berkhalwat dan bersuluk hingga didatangi mahaguru Jibril a.s yang menyampaikan wahyu pertama.

Sesudah itu baginda turun daripada gua untuk menyebarkan dakwah dan risalah kebenaran. Dan kaedah inilah yang cuba diterapkan oleh Hassan al-Banna di mana usrah menjadi tempat berhimpunnya para sahabat untuk mengkaji al-Qur'an untuk disebar kepada keluarga dan masyarakat sekitar.

Usrah itu medan akliah, lapangan akademik yang bertenaga memancarkan sinar pencerahan ke atas masyarakat sekitar. Sememangnya, begitulah cara sinar-sinar kebenaran itu terhimpun dan terkumpul di suatu tempat, lalu limpahan sinar itu tercurah ke lembah gelap yang lain pula.

Tepatlah, universiti sekarang sudah berubah menjadi 'rumah penyembelihan'. Sekolah-sekolah, universiti-universiti tidak lagi berperanan sebagai Gua Hira' tempat Nabi Muhammad bertemu mahagurunya; Jibril a.s dan tidak seperti Buddha menerima pencerahan di bawah pokok Bodhi.

Beginikah Mahasiswa?

Dalam tradisi pendidikan Islam warisan Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali, antara peranan ilmu ialah mendidik jiwa agar lunak dan patuh kepada Allah. Tetapi, menurut al-Ghazali, dalam proses didikan itu, apabila sampai waktunya, guru perlu meninggalkan sang murid kerana hati murid itu sudah tidak dapat lagi dirawat.

Dalam suasana masyarakat hari ini, mahasiswa, rakyat atau golongan bawahan kita masih lagi boleh dirawat kerana dalam hati mereka sentiasa ada sikap merendah diri dan ingin bertaubat apabila dirundung masalah. Kita hanya berdepan dengan masalah orang atasan. Buktinya, walaupun kalah dalam pilihan raya, mereka masih belum berubah dan angkuh mempertahankan kuasa sehingga sanggup menderhaka kepada sultan. Mereka ini tidak boleh dirawat lagi.

Persoalan disini, adakan universiti ini hanyalah tempat untuk melahirkan pekerja atau tempat untuk menggarap potensi dan kebolehan generasi muda yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara?. Perlu kita menyedari generasi muda mudi yang merupakan aset yang cukup bernilai kepada setiap negara perlu dibangun kan sesuai dengan potensi mereka, bukan menghad dan membelenggu fikiran dan jiwa mereka. Contohnya dengan menggunakan akta-akta dan juga sukatan matapelajaran yang boleh membekukan otak dan pergerakan pelajar. Semestinya peranan Modal Insan, Minda Kelas Pertama perlu diterjemah dengan betuldengan lebih praktikal. Dunia kampus merupakan medan training atau warm up untuk terjun ke medan sebenar yang penuh mencabar. Kepada sahabat/ sahabiah yang tidak pulang ke kampung, tahniah diucapkan.Teruskan tugas kalian di sini. Selamat bercuti. Ingat, kita adalah duta kepada agama kita sendiri. Mudah-mudahan amal yang kita buat pada hari ini akan mendapat habuan yang setimpal dengan apa yang kita lakukan. Siapa yang kerja lebih, dia akan dapat lebih. wallahu 'aklam.

Saturday, May 10, 2008

Di sini kami bermula

Assalamu'alaikum


Alahamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana dapat mencipta blog sendiri. Diharap dengan adanya blog ini akan menambahkan ilmu pengetahuan yang sedikit ini. Jutaan terima kasih diucapkan kepada keluarga yang nun jauh di Kuala Berang, sahabat-sahabat seperjuangan dan rakan-rakan di luar sana, wallahu a'lam.

Al-fakiir Ilaa Rabbihi.