Sunday, July 20, 2008

Belajar Dalam Kesilapan

Alhamdulillah, petang tadi selesai juga “Bengkel Pengurusan Organisasi 08/09” . Sedikit sebanyak memberi dan menerima tunjuk ajar kepada organisasi. Untuk tempoh 2, 3 minggu kebelakangan ini masa seumpama terlalu cepat. Sehingga saya rasa tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Karnival Kesenian dan Kebudayaan Islam 2008(KKKI 08) akan menjelang 7 hari sahaja lagi. Tentu persiapan dan persediaan perlu digandakan. Biasa lah sebagai manusia biasa, saya sendiri terasa sedikit cemburu bilamana melihat rakan-rakan lain dapat pergi ke perpustakaan, siapkan assignment, keluar berjalan-jalan, belajar dengan selesa. Tetapi sejak kebelakangan ini, saya tidak bekesempatan. Tapi saya yakin, disebalik apa yang menimpa diri ini dapat memberi hasil bukannya pada hari ini. Bagaimana kanak-kanak riang (Kamal) menggunakan semangat anak muda yang ada pada diri nya untuk mengajak adik-adik bangun dari lena yang panjang. Tempoh pembentukan ini bukan memakan masa yang pendek, tapi ia memakan masa yang cukup panjang. Saya terpulang kepada ahli untuk menilai tahap kepimpinan pada kali ini. Mungkin saya memimpin dalam keadaan ’syok sendiri’ atau ada yang mengikut atas dasar simpati. Itu saya tidak pasti. Yang pasti Islam itu akan menang dan Allah s.w.t akan menapis golongan hawariyyun ini. Tidak ramai. Pesan saya, pemimpin ini, bukan yang selayak nya dan yang terbaik. Belajar dalam kesilapan. Walau bagaimanapun keberlangsungan perjuagan tetap berjalan. Tarbiyyah mesti diteruskan.

Sunday, July 13, 2008

Tok Wan ku

Selepas selesai sahaja solat subuh semalam, saya mengadakan meeting tentang gerak kerja di kampus. Sambil ber meeting, tiba-tiba saya dapat satu pesanan ringkas (sms) dari ayahku yang tertulis :“Tok wan tlh kembali kerahmatullah alfatihah……..”. Saya sedikit terrgamam dengan berita sedih ini. Mana tidaknya, orang yang telah membesarkan kami adik-beradik, telah pergi dahulu mengadap yang maha esa. Innalillah wainnaa ilaihi raa ju’uun. Memang Tok Wan sudah uzur semenjak kebelakangan ini. Tetapi perkiraan manusia yang dangkal ini tidak lah sehingga kerahmatullah. Tetapi perangcangan Allah s.w.t itu maha halus. Saya masih lagi teringat sewaktu kecil, setiap adik-beradik ini akan di sambut oleh Tok Wan. Jika ibuku masih dalam pantang, Tok Wan lah yang akan menjaga kami sehinggan ibuku benar-benar sihat daripada proses bersalin. Teringat satu sabda Rasulullah s.a.w, mafhumnya; Apabila matinya anak Adam, akan terputuslah segalanya dengan dunia kecuali 3 perkara iaitu Ilmu yang mermanfaat yang diajar kepada orang lain, anak yang soleh dan sedekah jariah. Tok Wan seorang yang peramah dan sentiasa mengambil berat hal-hal berkaitan orang disekelilingnya. Kata pepatah ”Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Maka termaktublah nama Fatimah Bt Salleh dalam kamus hidup ini...Al- fatihah…

Friday, July 11, 2008

Tawa Dalam Tangisan


Baru tadi kami barbincang banyak hal dalam usrah. Antara yang hadir adalah Kamal, E-se, Bob, dan Adzmin. Setelah sekian lama tidak duduk berbincang, akhirnya terubat juga rasa rindu ini terhadap majlis tersebut walaupun tidak lama. Tapi sedikit terkilan dan sedih kerana ada beberapa sahabat lain yang tidak dapat hadir. Teringat kata-kata 'sifu' saya sebelum ini, "Walau macam mana sekalipun, usrah jangan ponteng". Masa itu saya tak tahu lagi sebab kenapa beliau berpesan sedemikian. Tapi hari ini, saya faham kenapa beliau berkata demikian. Usrah adalah tunjang tarbiyyah.

Forum Palestin akan muncul tidak lama lagi, "Tawa Dalam Tangisan". Itu lah tema atau tajuk yang telah di ilhamkan oleh team-team muslimat. Biarlah tajuk apa sekali pun, tapi kita mempunyai mesej yang jelas kepada masyarakat tentang isu ini. Isu Palestin perlu di perhangatkan kegelanggang masyarakat. Teruskan dengan usaha-usaha ini untuk menyeru kepada Amar makruf, nahi mungkar. Ingat, Islam itu pasti akan menang!

Sunday, July 6, 2008

Fatwa Qardawi Terhadap Isu Anwar Ibrahim

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Soalan Pertama: Jika seseorang yang dikenali oleh khalayak ramai sebagai orang yang istiqamah, berkeperibadian bersih dan salih sepanjang hidupnya, tiba-tiba dituduh dengan tohmahan-tohmahan yang keji seperti berzina, melakukan perbuatan kaum luth, membunub dan lain-lain. Apakah hukum shariah berkenaan dengan orang yang menuduh dan yang menuduh dan yang orang yang di tuduh? Adakah orang yang di tuduh wajib membela diri? Dan apakah kewajipan masyarakat Muslim berkenaan perkara ini?

Jawapan: Menuduh orang-orang yang bersih dengan tohmahan-tohmahan, terutame tohmahan-tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh merupakan satu perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan azab-Nya.

Sebab tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menyerang kemuliaan diri orang-orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Ianya juga boleh menyebabkan orang ramai berburuk sangka terhadapnya, manakala orang-orang yang tidak diinginkan terhadapnya. Perkara sedemikian juga menyebabkan tersebamya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh iru, al-Quran mengacam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t.: Terjemahan: Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata. (Surah al-Ahzab 33:58)

Firman Allah s.w.t.: Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik yang lengah (tidak pemah terlintas untuk melakukan perbuatan yang keji) lagi beriman (dengan tuduhan zina), mereka terkena laknat di dunia dan di akhirat dan bagi mereka azab yang besar. Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka minjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurur semestinya dan tahulah mereka bahawa Allah lah yang Benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuaru menurut bakikat yang sebenarnya). (Surah an-Nur 24: 23-25)

Para ulama telah sepakat (Ijma') mengatakan bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkannya ke atas wanita mukminah.

Ayat di atas turun dalam bentuk seperti ini (menggunakan perkataan mukminat) karana ayat tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin Aishah As-Siddiqah Binti Abu Bakar As-Siddiq Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w. selepas khadijah, Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan yang keji.

Orang-orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan meleparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan skandal dengan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah diragui kebersihan peribadinya. Orang-orang munafik benar-benar telah menggunakan peluang ini dengan mengobarkan api fitnah.

Demikianlah kisah 'Hadith al-Ifki' yang telah mempermalukan dan meresahkan rumah nabi s.a.w., rumah Abu Bakar as-Siddiq serta seluruh bandar Madinah. Akhirnya turunlah ayat al-Quran daripada petala langit yang tujuh, bagi menerangkan perkara tersebut judg secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sedikala. Ayat tersebut juga telah membiskan lidah-lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada segala tuduhan jahat. Selepas turunnya ayat-ayat tursebut, kaum Muslimin pun merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu.

Bacalah firman Allah s.w.t. pada surah an-Nur: Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira babawa berita bohong itu buruk bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata." Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta. (Surah an-Nur 24:11-13)

Inilah hukum Allah yang tegas: sesiapa yang menuduh orang lain telah melakukan perbuatan keji seperti berzina maka dia mesti mengukuhkan tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil cacat kepetibadinnya. Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuaran zina dengan perempuan secara jelas dengan mata kepala mereka sendiri. Demikianlah sebagaimana yang telah di terangkan secara kiasan dalam undang-undang shariah: seperti: besi celak dimasukkan ke dalam bekasnya atau seperti pena dimasukkan ke dalam botol dakwat. Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi sebagaimana yang ditrangkan di atas, maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah s.w.t. Allah menegaskan bahawa si pendusta ini mesti dikenakan hukuman shariah, bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera al-Quran al-Karim, iaitu pada firman Allah s.w.t.: Terjemahan: Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (Berbuat zina) mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik. (Surah an-Nur 24:4, 5)

Ayat-ayat yang mulia di atas menyebutkan tiga jenis hukuman terhadap jenayah yang keji itu: Pertama: Hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya menyakiti peribadi orang-orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu juga boleh memusnahkan kehidupan orang-orang yang dituduh beserta kaum keluarganya.

Kedua: Hukuman moral dan sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang yang menuduh. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, civil, sosial, politik tidak boleh diterima pakai. Perkataan 'kesaksian' dalam ayat di atas diturunkan dalam bentuk nakirah (am) dan berbentuk penafian. Oleh itu, ia mencakupi seluruh jenis kesaksian. Berdasarkan hal ini, orang itu wajib digugurkan haknya untuk mengundi dalam pilihan raya, terlebih lagi hak untuk diundi.

Ketiga: Hukuman agama, iaitu dengan menggelarinya sebagai orang yang fasik dan memasukkannya ke dalam golongan 'Fasiqun'. Al-Quran menyebutkan kefasikan sebagai lawan daripada keimanan. Firman Allah s.w.t.: Terjemahan: Maka adakah orang-orang yang beriman serupa dengan orang yang fasik? Mereka tidak sama. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Adapun orang-orang yang fasik, maka tempat mereka ialah neraka. (as-Sajdah 32: 18-20)

Al-Quran juga telah melekatkan gelaran fasiq ini kepada Iblis, makhluk paling durjana. Firman Allah s.w.t.: Terjemahan: Dia adalah daripada golongan jin, maka dia berlaku fasik (derhaka) terhadap perintah Tuhannya. (Surah al-Kahfi 18:50)

Walau bagaimana pun, dengan rahmat dan kasihnya Allah masih lagi membuka pintu taubat bagi mereka yang ingin mensucikan dan membersihkan diri. Firman-Nya: Terjemahan: Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah an-Nur 24: 5)

Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa taubat hanya diperkenankan bagi memansuhkan hukuman terakhir, iaitu penggelaran dirinya sebagai fasik. Taubat tidak akan memansuhkan hukum gugurnya kesaksian dari pihaknya. Sebab perkara 'gugurnya kesaksian' dalam ayat di atas disifatkan Allah sebagai kekal. "Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya"

Jenayah melemparkan tohmahan itu boleh menjadi lebih besar jika orang yang dituduh dikenali oleh khalayak ramai sebagai orang yang istiqamah dan salih. Mereka mengenalnya sebagai orang yang baik dan tidak pernah menyaksikan sebarang kejahatan dilakukannya. Sesungguhnya suara orang ramai merupakan pena-pena kebenaran. Kesaksian yang boleh dipertimbangkan hanyalah kesaksian orang-orang yang salih dan baik. Sebab mereka merupakan saksi-saksi Allah di atas muka bumi, sepertimana yang digambarkan oleh salah satu hadith Rasulullah s.a.w.

Pandangan dan sikap Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas dan keras. Islam tidak membenarkan seorang Muslim menyakiti perasaan seorang saudaranya sesama Muslim dengan perkataan menghina, sama ada di hadapannya atau di belakangnya. Firman Allah: Terjemahan: Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari syak wasangka, sesungguhnya sebahagian daripada syak wasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Hujurat 48: 12)

Dalam satu hadith sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Setiap Muslim diharamkan untuk mencerobohi darah, harta dan maruah saudaranya sesama Muslim.

Jika Islam tidak menentukan sikap yang tegas seperti ini tentu akan terjadi perbalahan di antara selurah manusia, manakala kemuliaan serta maruah diri mereka akan ditindas. Akhirnya musnahlah seluruh hak dan kebebasan.

Bertolak atas kesedaran ini pula Islam memerintahkan kita untuk tidak menceritakan aib orang lain demi menjaga maruah dan peribadinya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada seseorang yang menggesa Ma'iz untuk mengaku berzina sehingga dijatuhkan hukuman rejam: "Jika engkau tutupinya dengan bajumu tentu lebih baik untukmu". Rasulullah juga bersabda: "Seluruh umatku akan memperolehi pengampunan, kecuali orang-orang yang suka meyebarkan aib orang lain." Dan baginda bersabda: "Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang Muslim nescaya Allah akan menutupi (kesalahannya) di dunia dan akhirat."

Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran al-Karim: Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. (Surah an-Nur 24: 19)

Soalan Kedua: Adakan orang yang dituduh berhak untuk membela diri? Bolehkan ia dicegah dari melakukan hal itu? Apakah kewajipan masyarakat Muslim di sekelilingnya? Bolehkah mereka berdiam diri dan membiarkan perkara tersebut berlalu begitu sahaja?

Jawapan: Hak seseorang yang dituduh dengan tuduhan melibatkan agama, maruah serta moral ialah: Membela diri dari tuduhan orang yang telah menzaliminya dan meninggikan suaranya dalam menyuarakan kebenaran. Bahkan dalam satu ayat al-Quran Allah telah memberinya satu hak istimewa untuk melindungi kchormatan dan maruah dirinya. Firman Allah: Terjemahan: Allah tidak menyukai ucapan-ucapan buruk yang (diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang-orang yang dianiaya. Allah adalah Maha mendengar lagi Maha mengetahui. (Surah an-Nisa' 4: 148)

Tidak boleh sesiapapun mencegah atau melarang orang yang dituduh daripada membela dirinya. Ia merupakan hak yang biasa dan sah di sisi hukuman shariah. Allah telah memberikan peluang kepada Iblis yang dilaknat untuk berdebar mempertahankan dirinya di hadapan Tuhan scluruh alam. Iblis dengan petahnya mempertahankan kesombongannya dengan mengatkan, "Saya lebih baik daripada Adam." Bahkan pada hari kiamat. Allah juga memberi peluang kepada setiap diri untuk mengetengahkan pembelaan terhadap dirinya.

Oleh itu masyarakat Muslim mesti memberikan peluang kepada orang yang dituduh dan melinaungi hak dan kebebasannya seluas-luasnya dalam proses pembelaan itu. Dia mesti dibenarkan membela dirinya secara lisan, menulis di surat-surat kabar dan berucap di radio dan televisyen. Terutama jika pandangan umum akan memberi kesan yang cukup beras dalam kes tersebut.

Secara shariah, dia tidak boleh diserahkan kepada taring-taring para lawannya yang mencarik-carik kredibilitinya siang dan malam dan membiarkan masyarakat awam hanya menjadi penonton tanpa mampu berbuat apa-apa. Akibatnya, pintu pun tertutup rapat di hadapan orang yang dituduh. Dia tidak mampu melawan sebab tidak memiliki sebarang kelengkapan sedangkan para musuhnya memiliki seluruh jenis senjata. Mereka telah melucuti dirinya daripada sebarang kekuasaan, bahkan lebih dari itu, mereka juga telah mengajak orang ramai untuk ikut serta dalam 'angkatan dusta' dengan menyebarkan perkataan-perkataan jahat yang tidak pernah diingkari. Firman Allah: Terjemahan: Kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya sebagai sesuatu yang ringan sahaja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. (Surah an-Nur 24: 15)

Masyarakat Muslim merupakan satu masyarakat yang saling bertimbang rasa dan penuh tanggung jawab antara satu sama lain. Ia tidak akan membiarkan seorang yang baik dan tidak bersalah menjadi korban satu kezaliman yang kuat, konspirasi dan makar (tipu daya) yang memusnahkan. Masyarakat Muslim tidak akan berdiam diri menyaksikan perkara itu semua, sebab seseorang yang berdiam diri terhadap kebenaran serupa dengan syaitan bisu. Allah s.w.t. berfirman: Terjemahan: Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah satu berita bohong yang nyata." (Surah an-Nur 24: 12)

Inilah sepatutnya sikap masyarakat mukmin yang mengambil berat antara satu sama lain. Allah berfirman: Terjemahan: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. (Surah at-Taubah 9: 71)

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Seorang Muslim itu merupakan saudara kepada Muslim yang lain. (Oleh itu) dia tidak boleh menzalimi atau membiarkannya terlantar. (Muttafaqun 'alaihi)

Pengertian 'tidak membiarkannya' dalam hadith di atas ialah tidak melepaskannya atau meninggalkannya begitu sahaja dalam menghadapi kesukaran. Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

Maksudnya: Tolonglah saudaramu sama ada dia zalim atau dizalimi. Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, tentu kami akan menolongnya jika dia dizalimi. Tetapi bagaimanakah kami menolongnya jika dia sendiri berlaku zalim? Rasulullah bersabda: "Dengan mencegahnya dari melakukan kezaliman. Begitulah menolongnya." (Muttafaqun 'alaihi)

Islam mewajibkan masyarakat Muslim untuk menolong orang yang dizalimi dari terus dianiaya oleh orang yang zalim tanpa mengira berapa tinggi darjat atau pangkat penzalim itu. Hadith nabi menjelaskan:

Maksudnya: Jika kamu melihat umatku telah takut untuk mengatakan kepada si zalim wahai zalim, mereka telah ditinggalkan (Allah) Setiap Muslim yang mengenal kebaikan peribadi saudaranya wajib membelanya jika ia mendengar saudaranya itu dibertakan secara buruk. Satu hadith menyebutkan: Maksudnya: Sesiapa yang membantah untu(melind) maruah saudaranya, nescaya Allah akan menolak api neraka daripada wajahnya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Soalan Ketiga: Bagaimana caranya mewujudkan satu perbicaraan yang jujur, berkecuali dan adil. Tidak dipengaruhi oleh kuasa pemerintah dan hanya menggunakan shariah sebagai landasan hukum yang sah. Juga direstui oleh orang ramai sebagai hakim dalam memutuskan perselisihan dan pertelingkahan?

Jawapan: Orang yang dituduh melakukan perbuatan zina (al-Maqzuf), liwat atau sepertinya tidak perlu dibicarakan. Sebaliknya yang perlu dibicarakan ialah orang yang menuduh. Sebab dia telah melemparkan tuduhan 'qazaf' (melemparkan tuduhan zina) maka dia wajib mengemukakan bukti-bukti yang kukuh. Kaedah shariah berkenaan hal ini ialah: Orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dan orang yang dituduh wajib mengucapkan sumpah.

Walau bagaimana pun, dalam kes seperti ini, orang yang dituduh tidak dituntut untuk bersumpah. Sebab pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan, seperti mana secara hukum asalnya setiap Muslim meati berbaik sangka dan memandang dengan pandangan yang baik sesama mereka.

Adalah hak setiap orang yang dituduh dengan tohmahan keji ini untuk menuntut orang yang menuduhnya dalam satu perbicaraan mahkamah shariah yang adil. Manakala kewajipan seorang Qadhi Muslim yang menangani kes ini dengan cara yang diredhai Allah dan hukum shariah-Nya ialah: menuntut penuduh untuk mengemukakan bukti berkenaan dakwaannya, iaitu empat orang saksi sepertimana yang diterangkan oleh al-Quran. Jika dia tidak berbuat demikian maka gugurlah dakwaannya. Qadhi wajib menegakkan hukuman Allah ke atas dirinya iaitu dengan menyebatnya sebanyak 80 sebatan, menghilangkan haknya dalam memberi kesaksian, dan mengecapnya sebagai faslk melainkan jika ia bertaubat.

Pengecualian untuk hukum tersebut hanya pada satu kes sahaja sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu jika seorang suami menuduh isterinya sendiri melakukan perbuatan zina. Inilah ketentuan fardhu Allah terhadap mereka berdua yang dikenali dengan istilah "al-Li'an". Dalam hal ini, suami tidak dituntut untuk mengemukakan empat orang saksi terhadap perbuatan zina yang dilakukan oleh isterinya sendiri dan dilihatnya dengan mata kepalanya sendiri. Dia juga tidak diwajibkan untukterus bersekedudukan bersama isterinya yang didakwa atau diyakini berkelakuan buruk itu. Itulah sebabnya Allah menentukan satu prosedur hukum yang berakhir dengan perceraian abadi antara kedua-duanya. Firman Allah s.w.t.: Terjemahan: Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), sedangkan mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka kesaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahawa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Isterinya itu dihindarkan daripada hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah, sesungguhnya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta. Dan (sumpah) yang kelima: bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.

Soalan Keempat: Jika seorang pemimpin negara di beberapa kawasan berselisih pendapat dengan timbalannya mengenai isu-isu kewangan, pentadbiran, politik dan lain-lain sehingga mereka berdua saling melemparkan tuduhan-tuduhan antara satu sama lain, maka apakan cara shariah untuk menyelesaikan pertelingkahan di antara kedua-duanya?

Jawapan: Cara yang terbaik berkenaan dengan perkara ini ialah melantik pihak berkecuali ini tidak boleh dipengaruhi oleh pujukan atau ugutan daripada penguasa atau ganjaran atau ancaman daripada permerintah. Dia mesti melihat kepada perkara ini dengan pandangan yang neutral, adil dan mementingkan maslahat umat, sambil berusaha sedaya upaya untuk mencari taufik daripada Allah dalam memutuskan perkara tersebut. Sesungguhnya tengan Allah itu sentiasa berada bersama jamaah, berstu padu itu akan sentiasa mendatangkan kebaikan, manakala perpecahan adalah punca segala keburukan.

Inilah yang pernah dilakukan oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah. Sebelum itu para sahabat yang berada bersamanya atau bersama Mu'awiyah juga telah melakukan perkara yang sama, kaum Khawarij menentang kebijaksnaan tersebut seraya melaungkan slogan: "tidak ada hukum kecuali hukum Allah. Tetapi Abdullah bin Abbas r.a berjaya membungkam mereka dengan hujah-hujah yang jelas dan tegas. Beliau menjelaskan bahawa usaha mencari orang tengah sebagai hakim justeru diperbolehkan oleh Allah dalam perkara-perkara yang jauh lebih remeh seperti perselisihan dalam keluarga antara suami isteri. Jika ia dibolehkan dalam perkara-perkara besar yang melibatkan perselisihan faham berkaitan dengan umat. Selanjutnya Abdullah bin Abbas r.a membacakan firman Allah berikut dihadapan mereka: Terjemahan: Dan jika kau khuatir akan berlakunya persengketaan di antara kedua-dua (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam (juru pendamai) daripada keluarga lelaki dan seorang hakam daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah an-Nisa' 4:35)

Saya berpendapat bahawa satu jawatan kuasa yang terdiri daripada para cendekiawan Muslim yang bijaksana dari negara Indonesia, Pakistan, Arab Saudi atau lainnya yang dapat mengadili perselisihan ini dengan kebenaran-kebenaran yang Allah tunjukkan kepada mereka diiringi niat salih, keazaman yang benar, usaha yang bersungguh-sungguh. Dan dengan itu terlerailah segala kesulitan, terbukalah jalan dan berlakulah kesepakatan (taufik) sepertimana pesanan Allah s.w.t berkenaan juru pendamai.

Terjemahan: Jika kedua orang hakam (juru pendamai) itu bermaksud mengadakan perbaikan nescaya Allah memberi taufik kepada mereka suami isteri itu. (Surah an-Nisa' 4:35)

Amat besar harapan saya terhadap saudara-saudara saya di negara Malaysia tercinta, agar mereka berusaha sedaya upaya untuk memadamkan api fitnah dan kembali bersatu padu memperkuatkan ketahanan bangsa, demi menghadapi pakatan-pakatan jahat yang dirancang oleh kuasa-kuasa besar bagi menghancurkan mereka secara khas dan kaum mislimin secara umum. Dan itulah cara termudah bagi mereka menikmati kekayaan dan khazanah negara sedangkan umat dalam kealpaan dan bercakaran sesama sendiri.

Jiwa saya seperti berkecai dan hati saya rasa seperti dihiris melihat kejadian-kejadian yang berlaku terhadap umat Islam. Allah telah menjadikan mereka sebagai umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, tetapi sayangnya mereka saling melancarkan tipu daya untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Akhirnya yang rugi tentulah negara dan bangsa sendiri. Manakala pihak yang memperolehi keuntungan daripada perselisihan tersebut ialah Israel, Amerika dan kausa-kuasa lain yang menanti peluang untuk menyerang kaum Muslimin. Merekalah yang melaga-lagakan untuk memetik hasil daripada pergaduhan dan pertelingkahan yang berlaku. Mereka menikmati hasil yang maksima daripada pergaduhan antara dua kelompok. Wala hawla Wala Quwata Illa Billah.

Saya mengingatkan saudara-saudara saya akan firman Allah s.w.t Terjemahan: Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu semasa kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu jadilah kau kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat kepadamu, agar kamu memperolehi petunjuk. (Surah Ali Imran 3:103)

http://www.qaradawi.net/others/Mr-anwar-fatwa-m.htm

Saturday, July 5, 2008

Pertahan akhlak Islam hadapi saat serba mencabar


Berhubung dengan pelbagai fitnah yang tersebar dengan meluas dalam negara kita kebelakangan ini, bagi pihak PAS, saya suka menyeru agar semua kita kembali berpaut kepada ajaran Islam yang sebenar.

Kita menegaskan bahawa fitnah adalah lebih merbahaya daripada membunuh, oleh kerana itu kita tidak boleh menyebarkan sebarang fitnah sewenang-wenangnya. Sesungguhnya Islam meletakkan garis panduan dalam semua perkara tapi malangnya kita sendiri memilih untuk menjauhkan diripada ajaran Islam.

Islam dengan jelas mengajar dan menetapkan hukuman yang berkait dengan memfitnah termasuk fitnah zina dan liwat.

Seseorang tidak boleh menuduh seseorang yang lain dengan dosa itu melainkan mengemukakan empat orang saksi.

Sekiranya tidak ada empat orang saksi, maka orang yang menuduh hendaklah dijatuhkan hukuman hudud dan menjadi fasik, dan beliau tidak boleh menjadi saksi lagi.

Di dalam Islam seorang yang dituduh tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahnnya ataupun orang itu mengaku sendiri dengan rela diri tanpa paksaan yang ia telah melakukan kesalahan tersebut.

Kita mengharapkan masyarakat Islam supaya memelihara akhlak yang diajar oleh Islam ini dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak. Apa yang mendukacitakan gejala ini berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku beragama Islam.

Oleh itu saya menyeru supaya sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sedemikian rupa hendaklah bertaubat kepada Allah SWT kerana dosa itu termasuk dalam kategori dosa besar yang diberi amaran keras oleh Allah SWT di dalam al Quran dan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. dan diperingatkan oleh para ulamak di sepanjang zaman.

Saya menyeru ahli-ahli PAS supaya kembali kepada pegangan kita yang termaktub dalam Perlembagaan PAS dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak di saat yang serba mencabar dan meruncing ini.

4 Julai, 2008

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Friday, July 4, 2008

Welcome to all students

Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakaa tuh.

Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana diberi keizinan untuk saya bersua dalam warkah kecil ini. Tahniah saya ucapkan kepada adik-adik kerana berjaya menempatkan diri di menara gading dan baru sahaja ditabalkan menjadi mahasiswa UMS-KAL. Selamat datang. Sudah pasti tugas dan cabaran semakin besar.

Mahasiswa/i yang berbahagia,

Alam sekolah menengah/matriikulasi/diploma sudah pun kita tinggalkan, kini tiba pula kita lalui alam mahasiswa bagi membawa jiwa-jiwa muda yang sarat dengan idealisme untuk menimba ilmu dan pengalaman di universiti. Tidak lupa juga saya mewakili Badan Dakwah Dan Kerohanian mengalu-alukan kembalinya semua mahasiswa-mahasiswi ke UMS-KAL. Saya mendoakan semester yang baru ini dapat melonjakkan momentum akademik dan sahsiah kita.

Saya tertarik dengan personaliti seorang anak muda dari Amerika, John Tyler Hammons, seorang mahasiswa berusia 19 tahun, yang telah memenangi kerusi Datuk Bandar Muskogee di Oklahama dalam sebuah pilihan raya yang diadakan pada 1 April 2008 baru-baru ini di salah sebuah negeri di Amerika Syarikat tersebut. John Tyler Hammons yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Muskogee High School telah menerima 70 peratus undi di pusingan akhir menewaskan bekas Datuk Bandar, Hershel Ray McBride yang berumur 70 tahun yang telah menjadi Yang Berhormat di kawasan itu sebanyak 3 kali.

Apa yang lebih menarik bagi anak muda ini, tidak ada istilah pemisahan antara dunia akademik dan dunia politik kemahasiswaan, kedua-duanya adalah suatu keseimbangan dan kemestian. Tidak terfikir oleh mahasiswa tahun pertama jurusan Sains Politik dan Pentadbiran Awam di Universiti Oklahama ini untuk menjadi ‘ulat buku’ semata-mata tanpa mempedulikan apa yang berlaku dalam masyarakat luar kampusnya. Buktinya, Hammons pernah menjadi Presiden Persatuan Anti-Dadah Berbahaya di sekolah tingginya itu. Tidak terlintas juga olehnya untuk berhenti belajar setelah mula meleburkan dirinya dalam bidang politik, bahkan baginya : "Being elected does not change my desire to continue my education. We will schedule our time in an appropriate fashion so that I can be mayor and stay in school."

Mahasiswa/i yang berbahagia,

Dalam kita bergembira pada hari ini, perlu kita sedari tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah diisyhtiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai “nakbah” yang bermaksud malapetaka atau bencana besar. Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta) ke luar negara, manakala 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka. Kita seharusnya lebih peka terhadap isu sebegini.

Cukup setakat ini sahaja yang boleh saya paparkan dalam ruangan ini, nasihat saya supaya kita dapat berjimat cermat dalam keadaan harga minyak dan barangan yang tinggi sekarang, sekian wassalam.

Mahasiswa Pencetus Pembaharuan Semasa

Tuesday, July 1, 2008

IPTA terima 70,941 pelajar baru

Bumiputera isi 62.19 peratus tempat sesi akademik 2008/2009 mulai hari ini

KUALA LUMPUR: Sejumlah 70,941 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan asasi mula mendaftar sebagai pelajar baru bagi sesi akademik 2008/2009 mulai hari ini di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Daripada jumlah itu, Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan 30,757 tempat bagi lepasan SPM dan setaraf dengannya untuk mengikuti program diploma dan persediaan di semua IPTA bagi sesi 2008/2009.

Bagi lepasan STPM, sejumlah 40,184 ditawarkan tempat bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda. Program yang ditawarkan IPTA bagi lepasan SPM dan setaraf untuk sesi akademik kali ini membabitkan 169 program dengan 36 daripadanya Persediaan Asasi manakala 133 lagi diploma.

Jumlah itu meningkat 17.2 peratus atau 5,281 tempat berbanding 25,476 yang ditawarkan mengikuti program berkenaan di semua 20 IPTA tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata tahun ini, pihaknya menerima 67,143 permohonan calon lepasan STPM, matrikulasi dan asasi dan masing-masing memenuhi kelayakan minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.00 ke atas.

Berdasarkan pecahan kaum pula, beliau berkata, seramai 24,989 atau 62.19 peratus (Bumiputera), 12,445 atau 30.9 peratus (Cina) dan 2,750 atau 6.84 peratus (India). Daripada jumlah itu, 24,862 atau 61.87 peratus adalah calon aliran sains manakala 15,322 atau 38.13 (sastera).

Dalam perkembangan berkaitan, di Universiti Teknologi Mara (UiTM), menawarkan 28,117 tempat kepada pelajar lepasan SPM, STPM, matrikulasi dan lepasan diploma di semua 13 kampus cawangannya di seluruh negara.

Selain program diploma, UiTM dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, berkata pihaknya juga menawarkan program asasi sains, kejuruteraan, TESL dan undang-undang.

UiTM menawarkan 15,033 tempat pengajian diploma dan 13,084 tempat bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda. Kampus UiTM di Shah Alam akan mengendalikan 2,531 tempat pengajian peringkat diploma/asasi dan 10,357 tempat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Tarikh pendaftaran pelajar bermula hari ini bagi program diploma dan esok bagi program Ijazah Sarjana Muda khusus bagi calon lepasan STPM dan matrikulasi. Bagi calon lepasan diploma tarikh pendaftaran adalah 5 hingga 6 Julai ini.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula akan menerima masuk 5,234 pelajar baru bagi semester pertama sesi 2008/2009 mulai hari ini dan esok di dua kampusnya di Serdang dan Bintulu, Sarawak.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, dalam kenyataannya berkata, ini merangkumi 4,224 pelajar peringkat Bacelor dan 300 pelajar Asasi Sains Pertanian di kampus induknya di Serdang, manakala 710 pelajar diploma mendaftar di kampus Bintulu.

Katanya bagi peringkat Bacelor, kluster Sains Gunaan mencatat pendaftaran pelajar baru paling ramai, iaitu 1,503 orang, diikuti Sains Sosial (1,430), Sains Tulen (622), Kejuruteraan Teknikal (496) dan Perubatan (173).

Katanya, Bacelor Perakaunan dan Bacelor Pentadbiran Perniagaan adalah program yang menawarkan pendaftaran pelajar baru paling ramai di UPM, masing-masing 200 pelajar.

"Jumlah keseluruhan pelajar lelaki ialah 1,613 atau 30.81 peratus dan perempuan 3,621 atau 69.19 peratus," katanya.

Nik Mustapha berkata, UPM juga menawarkan tempat pengajian kepada 27 atlit sukan bertaraf kebangsaan bagi mengikuti pelbagai program pengajian di UPM. Jumlah tawaran kemasukan pelajar baru seramai 5,234 itu berkurangan 889 pelajar berbanding 6,123 pada tahun sebelumnya.

Sumber: Berita Harian Online, Selasa, 01 Julai 2008, 26 Jamadilakhir 1429