Wednesday, January 28, 2009

Indahnya Undang-Undang Islam


Pertemuan dan perbincangan petang tadi yang berkisar dengan hukum jinayah Hudud dengan adik-adik Kem Mahasiswa Unggul(KEMU) siang tadi dapat memberi sedikit ruang untuk saya berdiskusi dengan mereka. Sama ada mereka mengerti ataupun tidak, saya tidak pasti. Sekurang-kurangnya generasi kini sudah pun mula sedar tentang perlunya kita kembali kepada hukum Allah s.w.t. Akibat dilihat jenayah sudah tidak terkawal. Sehinggakan nilai Adilnya Islam itu orang tidak nampak. Aura hukum Islam tetap terpancar. Buktinya, ramai yang akan memberi respon, sama ada berbentuk positif atau negative. Saya bawa kes terbaru tentang kematian A. Kugan,22 yang mati dalam tahanan polis. Banyak kecelaruan yang sudah tidak terkawal pada hari ini.

Persoalan sebenarnya ialah kecekapan polis dalam penyiasatan.A Kugan mungkin penjenayah pencuri kereta mewah tetapi beliau masih belum didakwa dan diputuskan bersalah oleh mahkamah. Oleh itu tidak ada siapa yang boleh menghukum beliau sebagai penjenayah pencuri kereta.Negara kita ada undang undang yang perlu diperbetul dan dipatuhi oleh semua termasuk anggota polis yang bertugas.Tidak ada siapa yang terlepas dari undang undang ini sekalipun para pencacai cuba menjustifikasikan tindakan polis ini.

Kini polis sudah mengeluarkan kenyataan bahawa A Kugan adalah pencuri kereta mewah dan sebab kematiannya ialah paru-paru berair.Dengan kebangkitan rakyat, akhirnya mayat A Kugan dibedah siasat buat kali kedua di mana laporannya akan keluar dalam masa sebulan lagi.Terbongkar sudah penipuan polis kerana lapuran bedah siasat pertama polis hanya dikeluarkan dalam tempoh tak sampai seminggu sedangkan lapuran kedua hanya akan diketahui dalam masa sebulan.Di mana kredibiliti polis dalam kenyataan awal mereka?

Bolehkah polis dipercayai sedangkan laporan bedah siasat sudah menjelaskan pembohongan mereka.Oleh itu, bolehkah dipercayai bahawa A Kugan seorang penjenayah pencuri kereta mewah? Rasanya ramai yang meragui kenyataan polis ini.Kerana itu desakan ditubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat siapa A Kugan dan apa punca kematian sebenar adalah wajar dan nampaknya semua pencinta keadilan negara setuju dengan cadangan ini.

Keadilan adalah untuk semua tanpa mengira keturunan dan agama. Selama ini kita menyokong perjuangan rakyat Palastin, kita meyokong perjuangan rakyat Burma dan pernah menyokong rakyat Afrika Selatan atas dasar keadilan sejagat, jadi tidak salah untuk memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Malaysia keturunan India yang begitu sinonim dengan kematian di lokap polis sejak dulu lagi. Kali ini keadilan mesti ditegakkan dan kebenaran mesti dibuktikan.

Seorang pencuri kereta mewah mesti dihukum sebagai pencuri kereta mewah dan seorang pembunuh mesti dihukum sebagai pembunuh tanpa mengira siapa mereka,apa keturunan mereka dan apakah pangkat kedudukan mereka. Inilah akibat Negara kita yang mendokong Islam Had Hari yang mengishtiharkan kuta adalah sebuah Negara Islam contoh menyelesaikan masalah jenayah mengikut acuan manusia sendiri. Di Akhir pertemuan saya dengan adik-adik saya sempat berkata berusahalah untuk melihat islam diletakkan ditempat yang tinggi kerana ISLAM ITU TINGGI,DAN TIDAK ADA YANG LEBIH TINGGI DARIPADANYA.


Sunday, January 25, 2009

Sekadar berkongsi


Khat Thuluth

Surah Al-Baqarah : 117-118


Maksudnya: Allah jualah Pencipta langit dan bumi (dengan segala keindahannya tanpa meniru pada contoh yang lain). Apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau.” Lalu menjadilah ia.

(Orang kafir Makkah) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata, “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mu’jizat)?” Demikian pula orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka. Hati mereka (sekeliannya) adalah sama (dalam kedegilan dan kekufuran). Sesungguhnya Kami telahpun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.


Solat Gerhana Matahari 26 Jan 2009



"SOLAT GERHANA / BULAN / MATAHARI Gerhana terbahagi kepada dua iaitu gerhana bulan dan gerhana matahari. Gerhana ini merupakan tanda kekuasaan Allah S.W.T. bukan disebabkan apa-apa munasabah. Contoh sebagaimana yang telah berlaku pada Zaman Rasulullah s.a.w apabila anak baginda yang bernama Ibrahim telah meninggal, kebetulan ketika itu berlakunya gerhana Matahari, maka orang-orang ketika itu menyangka berlakunya gerhana Matahari ini disebabkan kematian Ibrahim. Maka Nabi s.a.w bersabda : 

"إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا ينكسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينكشف ما بكم ". (رواه البخاري ومسلم 

Maksudnya :
“Sesungguhnya matahari dan bulan keduanya menjadi bukti adanya Tuhan dan kekuasaan-Nya. Keduanya gerhana bukan kerana matinya seseorang dan tidak pula kerana hidupnya seseorang, maka apabila kamu mengetahui keduanya gerhana, hendaklah kamu berdoa kepada Allah, dan solat sehingga habis gerhana itu.”

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut : 

Rakaat pertama : 
Niat solat Gerhana, Takbir. 
Baca Al-Fatihah dan surah. 
rukuk. 
I’tidal, 
Baca Al-Fatihah dan surah. 
rukuk. 
I’tidal. 
Sujud dan seterusnya seperti solat biasa. 

Rakaat kedua : 

Sama seperti rakaat pertama. 

NIAT SOLAT GERHANA 

الخُسُوْفِ : Gerhana Bulan 

الكُسُوْف : Gerhana Matahari 

أُصَلِّي سُنَّةَ الخُسُوْفِ / الكُسُوْفِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى 

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat gerhana (Bulan / Matahari) 2 rakaat kerana Allah Taala.

Khutbah Khas Gerhana 


MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan unggul serta mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat. 
Allah Subhanahu Wata'ala Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan segala kejadian. Dialah juga yang menjadikan apa yang ada di bumi seperti manusia, jin, tumbuh-tumbuhan dan haiwan serta menjadikan apa yang ada di langit seperti bulan, matahari dan sebagainya. Iaitu sebagai bukti keterangan yang nyata tentang kudrat, iradat, ilmu, kebijaksanaan serta pengurniaan nikmat dari Allah Subhanahu Wata'ala yang banyak dan luas yang mendorong supaya makhluk-Nya memuji dan bersyukur serta mengabdikan diri sebagai hamba dengan khusyuk dan tawaduk kepada Allah Subhanahu Wata'ala. 
Umat Islam mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa Allah Subhanahu Wata'ala pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya adalah di bawah kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala yang menggerakkannya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah Subhanahu Wata'ala jua dan ia-Nya mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri, Maha Suci Allah, Pentadbir seru sekalian alam. 
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim ayat 33, tafsirnya: 

"Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar untuk kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu." 

Sesungguhnya Allah menjadikan malam dan siang adalah sebagai tanda kekuasaan atau bukti kekuasaan-Nya, keduanya (malam dan siang) akan mengakibatkan perubahan dan perbezaan cuaca, masa dan waktu. Begitu juga dengan kejadian gerhana, adapun gerhana itu terbahagi kepada dua iaitu gerhana matahari dan bulan. Gerhana itu ialah suatu perubahan, suatu kejadian, suatu keagungan dan kebesaran tuhan yang berlaku pada matahari dan bulan, di mana kejadian ini adalah suatu perkara yang amat mudah bagi Allah Subhanahu Wata'la melakukan-Nya. 
Oleh itu jika berlaku kejadian gerhana matahari atau bulan, ianya bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul suatu kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, tetapi gerhana itu berlaku atas sifat wajib bagi Allah Subhanahu Wata'ala iaitu berkehendak dan berkuasa atas segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun di dunia ini, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya: 

"Dari Abi Masuud Radiallahuanhu berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak akan gerhana kerana kematian atau hidupnya seseorang, keduanya itu adalah bukti dari tanda-tanda kebesaran Allah Ta'ala. Maka apabila kamu melihat gerhana itu berdirilah, bersembahyang dan berdoalah kepada Allah. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari). 

Apabila berlaku gerhana, kita sebagai umat Islam adalah dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya: 

"Dari A'isyah Radiallahuanha ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Maka apabila kamu melihat gerhana itu lalu berdoalah kamu kepada Allah Ta'ala, serta berzikir, bersembahyang dan bersedekah. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari). 

Oleh yang demikian, wahai kaum Muslimin, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan semasa berlakunya gerhana bulan ini untuk bersegera bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan, serta memperbanyakkan doa dan istighfar memohon keampunan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala. Di samping itu, marilah kita melakukan perkara-perkara yang berkebajikan dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam. Mudah-mudahan kejadian gerhana bulan ini akan menimbulkan keinsafan, menambahkan dan menguatkan lagi keimanan serta ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal’alamin. 
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 190 - 191, tafsirnya: 

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukuran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal: Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata: Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau maka peliharalah kami dari azab neraka."

SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI (KUSUF) 

 
Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari. Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat Kusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf. 

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari. 

Hukum Solat Gerhana Matahari 

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan. 

Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu. 

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia. 

Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik. 

Cara Solat Sunat Gerhana 

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! ( Solat berjemaah ) 

Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri) 

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut : 

Rakaat pertama 

1. Niat solat Gerhana, Takbir 

2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah 

3. Rukuk 

4. I'tidal 

5. Baca Al-Fatihah dan surah 

6. Rukuk. 

7. I'tidal. 

8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa. 

Rakaat kedua 

1. Niat solat Gerhana, Takbir. 

2. Baca Al-Fatihah dan surah. 

3. Rukuk. 

4. I'tidal, 

5. Baca Al-Fatihah dan surah. 

6. Rukuk. 

7. I'tidal. 

8. Sujud 

9. Tahiyyat Akhir 

SEHUBUNGAN DENGAN ITU MASJID AL-HIKMAH AKAN MENGADAKAN SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI SEPERTI MANA BERIKUT :- 

TARIKH : 26 JANUARI 2009 BER. 29 MUHARRAM 1430 HIJRAH 
MASA      : SELEPAS SOLAT ASAR 
TEMPAT : MASJID AL-HIKMAH, UMS-KAL 


SUMBER INFO : PLANETARIUM NEGARA, MALAYSIA. 

Marilah kita sama-sama menghayati dan menginsafi kebesaran Allah s.w.t dalam mengatur alam ini. Selain dari panduan maklumat dari pakar-pakar astronomi mengenai kejadian ini, sewajibnya kita membetulkan akidah dan iktikad di dalam hati kita bahawa Allah s.w.t itu Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam mengatur dan menguruskan langit dan bumi dan segala isinya. 

Mungkin ada sesuatu mesej di sebalik kejadian ini tanpa kita sedari. Maka sedarilah dan marilah kita sama-sama berfikir dan merenung sejenak dalam masa 24 jam yang kita ada setiap hari. Setiap saat yang berlalu menandakan usia kita semakin tua dan usia dunia juga lebih tua dari kita. Jika usia dunia amat sedikit maka usia kita teramat-amat sedikit dari usia dunia. 



Tuesday, January 20, 2009

200,000 pekerja hilang kerja?


KUALA LUMPUR 19 Jan. – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan 200,000 pekerja di negara ini terpaksa diberhentikan berikutan merudumnya ekonomi global berbanding 85,000 pekerja sewaktu kemelesetan ekonomi 1998.

Menurut MEF yang dianggotai 4,500 majikan itu, kemelesetan ekonomi global 1998 hanya membabitkan peringkat Asia berbanding krisis semasa yang lebih meluas kesannya.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, sektor yang terjejas teruk pada masa ini ialah industri komponen elektronik dan elektrikal apabila ada di antaranya tidak menerima tempahan produk untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Menurut beliau, sebagai langkah bertahan, syarikat terbabit mula melakukan pemotongan kos operasi dengan menghapuskan sistem kerja lebih masa atau menghentikan pekerja dan bagi kes yang kritikal, sudah ada yang menutup operasi atau cawangan.

Katanya, perkembangan negatif itu berpunca daripada kekalutan ekonomi global sehingga menguncupkan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun yang menjadi pasaran utama produk elektrik dan elektronik negara.

“Keadaan ini dijangka berlarutan sehingga 2010 dan paling awal pasaran dapat distabilkan ialah dalam jangka masa 18 bulan.

“Pada 1998, seramai 85,000 pekerja diberhentikan dan kali ini kita jangka angka itu meningkat sekali ganda mencecah 200,000 orang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam bahawa kira-kira 45,000 pekerja dari pelbagai sektor pengilangan mungkin kehilangan pekerjaan apabila kebanyakan kilang akan memberhentikan sementara pekerja menjelang perayaan Tahun Baru Cina pada hujung bulan ini.

Shamsuddin berkata, menyedari keadaan yang semakin getir, MEF telah bersemuka dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengemukakan beberapa cadangan untuk memastikan syarikat yang mula tenat itu diberi sedikit bantuan untuk bernafas. 

Katanya, MEF telah mencadangkan kepada kerajaan untuk meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyemak semula kenaikan tarif elektrik sebanyak 26 peratus yang mula dikuatkuasakan pada Julai 2008.

“Semakan kadar itu bukan sahaja untuk sektor industri dan perniagaan bahkan orang ramai juga berhak menikmati kadar tarif baru.

“Kalau kedua-dua sektor ini terbeban, duit tak ada banyak dan orang pun tak berbelanja, sebab itulah kita perlu merangsang ekonomi dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, MEF juga mencadangkan kerajaan menggantung pembayaran levi satu peratus daripada jumlah pembayaran gaji pekerja pada setiap bulan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

Katanya, walaupun menyedari caruman itu bertujuan mengisi dana latihan pekerja, namun MEF berpendapat lebih elok jika kerajaan menggantung sementara caruman tersebut.

http://www.utusan.com.my/

Monday, January 19, 2009

Engkau pergi dulu

           
          Sehari menyambut kegembiraan setelah mendapat ahli keluarga baru, Hanan mesti gembira dapat adik lelaki (anak saudara ku), tiba-tiba hari aku dapat pula berita sedih. Datuk (sebelah bapa) aku telah kembali kerahmatullah petang semalam. Selang setahun (beberapa bulan) selepas  kematian nenek ku. Sedikit terkilan dan ralat bila mana kematian mereka ini tidak dapat aku bersama menguruskan jenazah mereka. Almaklumlah jarak menjadi penghalag untuk aku pulang. Komitment di bumi KAL memerlukan aku masih setia di sini. Itulah yang dinamakan qada’ dan qadar daripada Allah s.w.t. Mati itu perkara yang pasti. Tapi bagaimana cara kita mati, kita tidak pasti. Umat Islam di Gaza, Palestin mempunyai kelebihan untuk mendapat peluang syahid yang besar. Alangkah beruntungnya mereka ini. Kita di sini juga mempunyai peluang, tetapi mengikut keadaan di Malaysia. Walaubagaimanapun semangat jihad mesti ditiupkan kepada para pemuda kerana jihad adalah jalan kami dan syahid adalah cita-cita tertinggi kami!. Moga Allah s.w.t menempatkan datuk (Abdullah Bin Yunus) dikalangan orang-orang mukmin yang bertqwa, Insya’Allah. Al-fatihah.


Sunday, January 18, 2009

Antara realiti dan fantasi




Tertarik dengan isu Palestin yang diberi oleh khatib di Masjid Al-Hikmah. Realiti vs Ilusi. Maulana Abu Hassan Ali A-Nadawi, seorang ulama’ muktabar membawa analogi umpama seorang tokoh pemimpin yang sangat disegani oleh kawan dan lawan. Telah meninggal dunia, lalu di abadikan sebuah patung yang gagah dan besar disuatu tempat. Tiba-tiba datang seekor burung lalu hinggap di atas batang hidung patung pemimpin tersebut, lalu melepaskan najis di situ. Tetapi patung besar pemimpin yang hebat itu tidak dapat berbuat apa-apa. Kenapa?. Hah, kerana Patung adalah fantasi dan burung adalah reliti. Burung adalah hidup, dapat berbuat sesuatu walaupun kecil. Selalunya realiti akan mengatasi fantasi. Itulah keadaan ummat islam pada hari ini. Dilihat terlalu ramai, tetapi ia hanya fantasi. Realitinya kita tidak begitu. Burung adalah musuh-musuh islam yang boleh berbuat apa sahaja. Sekadar luahan oleh pemikiran yang dangkal ini. 



Saturday, January 17, 2009

Hj. Wahid layak ke Parlimen


Keputusan PRK P36 kali ni sekali lagi membuktikan mood rakyat Malaysia untuk melihat perubahan masih lagi tebal. Tahniah kepada YB Hj. Wahid Endut, para pengundi serta petugas-petugas yang bertungkus lumus memenangkan Parti Islam di Malaysia. Ini merupakan satu petanda yang baik kepada ummat Islam di Malaysia, dan di seluruh dunia terutama di Palestin. Insya'Allah berkat perjuangan rakyat Malaysia, bantuan dan doa, darah yang mengalir ditubuh para pejuang akan melahirkan satu kemenangan yang masak. Ibarat ibu yang ingin melahirkan anak. Perlu merasai kesakitan, darah dan lahirlah anak tersebut. Memang benarlah perancangan Allah s.w.t ini maha hebat. Berkebetulan pula, aku telah mendapat seorang lagi anak saudara lelaki pada jam 4.30 pagi sama dengan tarikh pengundian ni. Insya'Allah, lelaki ini akan bersama aku untuk mendaulatkan Islam di muka bumi ini, Takbir!!!