Wednesday, May 12, 2010

Masjid & Politik

Politik dalam Islam merangkumi hubungan manusia dengan tuhannya yang lebih dikenali dengan nama Fiqh Al-Ibadat, hubungan manusia dengan kehidupannya yang lebih dikenali dengan nama Fiqh Al- Halal wa Al-Haram, hubungan individu dengan keluarganya yang melibatkan soal perkahwinan , perceraian, wasiat pewarisan harta dan lain-lain yang lebih dikenali pada zaman ini dengan nama Al-Ahwal Asy-syakhsiyyah. Ia juga mengandungi hubungan antara individu dengan masyarakat yang melibatkan urusan muamalah, dan pertukaran harta yang lebih dikenali di zaman ini dengan nama undang-undang sivil. Ini lah ulasan daripada Ulama’ Kontemporari, Imam Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya, As-Syiasah Asy-Syar’iyyah

Menyempitkan peranan masjid

Pada zaman Rasullah s.a.w, masjid adalah tempat terpenting negara. Namun setelah lebih 1400 tahun baginda meninggalkan umat nya, penjajah sudah pun mula menyempitkan skop fungsi masjid. Masjid hanya boleh untuk solat, akad nikah,tahlil, dan ibadat-ibadat khususi yang lain. Kenapa penjajah sengaja berbuat demikian?.Kerana mereka tahu apabila masjid menjalankan fungsinya yang sebenar, maka akan lahirlah tokoh-tokoh ulama’ terkemuka di dalam sejarah Islam yang menjadi pelopor kepada gerakan menentang penjajahan barat. Mereka juga menyedari dari masjid juga lah, munculnya tokoh-tokoh pemimpin umat islam yang terkemuka seperti Salahuddin Al-Ayubi, Muhammad bin Murad Al-fateh, Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain. Kadang-kadang saya merasa pelik, masjid dibina dengan kos yang btinggi,dihiasi dengan indah, tetapi dibiarkan lesu dan hambar. Tidak ada kuliah takzkirah, pengajian agama dan pengisian jiwa. Ditambah dengan AJK masjid yang bukan ahli masjid. Sampai ada ahli maksiat pun di senaraikan AJK masjid.Menyebabkan masyarakat semakin jahil tentang agama dan terus bebal.

Bawalah politik ke masjid

Setelah melihat suasana semasa, golongan ulama’, YB, ustaz-ustaz, kiyai, guru, petani, peniaga, mahasiswa, pelajar, penganggur, dan sesiapa sahaja harus menekankan dan berbincang mengenai politik Islam di masjid. Ya, dalam masjid. Bawalah politik ke masjid. Jika kita belajar ilmu tafsir, sirah dan lain-lain, maka kita akan banyak berjumpa dengan persoalan politik. Dimana harus belajar, kalau tidak di masjid. Sebagai contoh, surah Al-Mulk. Bermaksud Kerajaan. Surah Ar-Rum. Kerajaan Rom. Ini sebahagian contoh politik yang diajar dalam islam. Saya berharap, isu ini perlu diterangkan dan difahami oleh semua umat Islam. Jangan kita masih lagi mengikuti perangai dan tingkah laku penjajah. Bawalah politik ke masjid.