Tuesday, May 13, 2008

Aku, Mahasiswa dan Universiti


Maha suci Allah yang menguasai segala kerajaan ,dan Dia Mahakuasa atas sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Mahaperkasa lagi Mahapengampun,

Surah al-mulk;1-2

Suasana di Kampus semakin tenang dan hening. Bermula minggu lepas sudah ramai pelajar yang balik ke kampung halaman masing-masing. Setelah hampir setahun memerah otak untuk belajar. Tahniah kepada bakal-bakal garaduan pada bulan Ogos ini. Tinggal aku dan beberapa sahabat yang lain yang tak balik di sini. Teringat pula pada cuti semester panjang tahun lepas ,aku sempat pulang dan pergi menagih ilmu di Bait Qura’, Sungai Udang, Melaka. Mudir di sana Syekh Ustaz Zulkifli Ismail yang mengajar kami pada masa itu. Rasanya terlalu jahil dan kerdil kerana ilmu yang di beri itu sangat banyak.Tapi ini berlaku pada tahun lepas. Terasa rindu pula untuk belajar di sana. Tapi apakan daya, laut dan waktu menjadi penghalang. Tetapi inilah sebahagian makna dalam pengorbanan. Baru praktikal. Ini lah makna Tadhiyyah yang biasa disebut dalam Diskusi Ilmiah Mingguan(DIM). Gerak kerja di kampus menutup ruang aku untuk berseronok seperti orang lain yang sudah pulang ke kampung halaman untuk bercuti.Lupakan lah itu semua buat seketika...

Suasana Kampus

Ini lah suasana alam kampus yang telah aku cita-citakan sebelum ini. Aku pasti juga inilah yang diimpikan oleh setiap pelajar.Untuk mendapatkan segulung ijazah. Kerana ia merupakan klimaks kepada proses belajar. Teringt aku titipan bicara Sayyid Abul 'Ala Maududi (1903-1979) kepada kaum mahasiswa yang melihat universiti sebagai 'rumah penyembelihan' yang mencetak segulung 'sijil kematian'. Berikut adalah terjemahannya dalam bahasa Melayu:-

"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."

Tamat petikan ucapan Abul 'Ala al-Maududi.

Sama ada kita mahu bersetuju atau tidak, hal itu terpulang kepada pandangan masing-masing. Tetapi, jika diteliti dengan rinci terasa ada kebenaran dalam ucapan tersebut. Sebenarnya, apa peranan tertinggi kaum pelajar? Apa hubungan pelajar dengan masyarakat dan rakyatnya? Apa tujuan universiti ditubuhkan dan apa kaitan kena-mengenanya kaum kapitalis dengan universiti?

Tapi jangan lupa. Al-Maududi mungkin telah hilang kepercayaan ke atas universiti sebagai 'rumah penyembelihan'. Tetapi beliau masih menaruh harapan tinggi ke atas mahasiswa-mahasiswa yang diucapkannya sebagai:-

"Alangkah bertuahnya kepada mereka (mahasiswa) yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan."

Lalu, al-Maududi menyifatkan dirinya sebagai:-

Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."

Secara ringkasnya kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa al-Maududi mungkin hilang rasa percaya ke atas sistem pendidikan universiti, tetapi masih menaruh harapan tinggi ke atas para mahasiswa universiti. Sebab itulah beliau menafsirkan dirinya sebagai seorang pencari 'manusia (mahasiswa) yang masih hidup dalam timbunan mayat' di rumah penyembelihan yang bernama universiti.

Tapi, tidak diketahui apakah punca al-Maududi berkata demikian. Mungkin, beliau telah dihalau daripada memberi ceramah di universiti seperti UKM membatalkan ceramah mengenai Palestin kerana panel jemputannya dikatakan tidak serasi dengan pihak atasan UKM pada tahun lalu. Kebetulan pada masa itu aku sempat membuat lawatan Gerak Idealisme Merdeka (GIM) ke USIM, UPM, UKM, dan UUM.

Mungkin kecewa ke atas sejenis sistem berhutang yang dikenakan terhadap pelajar yang belajar di universiti yang mana kadar faedahnya (riba) membebankan pelajar sehinggakan hal itu diibaratkan beliau sebagai tindakan menyembelih pelajar laksana PTPTN menyembelih mangsanya?

Mahasiswa dan pensyarah yang tidak rela hidung mereka dicucuk untuk disembelih sudah pun menghidu bahawa pindaan Auku 1971 ini tidak bertujuan memansuhkan artikel 15 (1), (2), (3) dan lainnya yang memberi kebebasan kepada warga kampus berpolitik dan menjalankan kegiatan akademik yang ada kaitannya dengan politik negara.

Kepada golongan pakcik makcik kita yang pernah mengikuti silibus atau kurikulum usrah-usrah sejak 1970-an dahulu tentunya terdedah dengan kupasan al-Maududi dan Hasan al-Banna di dalam usrah mereka. Dalam erti kata lain, pemikiran al-Maududi dan al-Banna adalah seangkatan zaman.

As syahid Imam Hassan al-Banna juga melatakkan harapan yang tinggi terhadap golongan mahasiswa sehingga beliau membuat suatu muktamar rapat umum khas untuk menyampaikan wasiat kepada golongan pelajar. Maka, demikian juga dengan al-Maududi. Harapannya menggunung. Cuma, penyampaiannya sedikit berbeza bercampur nada kecewa.

Pelajar dan rakyat

Saban tahun, kita mendengar dan melihat paparan kisah pelajar sekolah rendah dan menengah yang mendapat keputusan terbaik dalam UPSR, SPM dan STPM. Di universiti, kita akan melihat hal yang sama berlaku. Tapi, dengan ilmu mereka, apakah masyarakat berubah menjadi baik?

Inilah madrasah tarbiyyah peninggalan Rasulullah s.a.w yang diwarisi oleh Hassan al-Banna dan al-Maududi. Misalkan Gua Hira' adalah 'universiti' terpencil tempat baginda berkhalwat dan bersuluk hingga didatangi mahaguru Jibril a.s yang menyampaikan wahyu pertama.

Sesudah itu baginda turun daripada gua untuk menyebarkan dakwah dan risalah kebenaran. Dan kaedah inilah yang cuba diterapkan oleh Hassan al-Banna di mana usrah menjadi tempat berhimpunnya para sahabat untuk mengkaji al-Qur'an untuk disebar kepada keluarga dan masyarakat sekitar.

Usrah itu medan akliah, lapangan akademik yang bertenaga memancarkan sinar pencerahan ke atas masyarakat sekitar. Sememangnya, begitulah cara sinar-sinar kebenaran itu terhimpun dan terkumpul di suatu tempat, lalu limpahan sinar itu tercurah ke lembah gelap yang lain pula.

Tepatlah, universiti sekarang sudah berubah menjadi 'rumah penyembelihan'. Sekolah-sekolah, universiti-universiti tidak lagi berperanan sebagai Gua Hira' tempat Nabi Muhammad bertemu mahagurunya; Jibril a.s dan tidak seperti Buddha menerima pencerahan di bawah pokok Bodhi.

Beginikah Mahasiswa?

Dalam tradisi pendidikan Islam warisan Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali, antara peranan ilmu ialah mendidik jiwa agar lunak dan patuh kepada Allah. Tetapi, menurut al-Ghazali, dalam proses didikan itu, apabila sampai waktunya, guru perlu meninggalkan sang murid kerana hati murid itu sudah tidak dapat lagi dirawat.

Dalam suasana masyarakat hari ini, mahasiswa, rakyat atau golongan bawahan kita masih lagi boleh dirawat kerana dalam hati mereka sentiasa ada sikap merendah diri dan ingin bertaubat apabila dirundung masalah. Kita hanya berdepan dengan masalah orang atasan. Buktinya, walaupun kalah dalam pilihan raya, mereka masih belum berubah dan angkuh mempertahankan kuasa sehingga sanggup menderhaka kepada sultan. Mereka ini tidak boleh dirawat lagi.

Persoalan disini, adakan universiti ini hanyalah tempat untuk melahirkan pekerja atau tempat untuk menggarap potensi dan kebolehan generasi muda yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara?. Perlu kita menyedari generasi muda mudi yang merupakan aset yang cukup bernilai kepada setiap negara perlu dibangun kan sesuai dengan potensi mereka, bukan menghad dan membelenggu fikiran dan jiwa mereka. Contohnya dengan menggunakan akta-akta dan juga sukatan matapelajaran yang boleh membekukan otak dan pergerakan pelajar. Semestinya peranan Modal Insan, Minda Kelas Pertama perlu diterjemah dengan betuldengan lebih praktikal. Dunia kampus merupakan medan training atau warm up untuk terjun ke medan sebenar yang penuh mencabar. Kepada sahabat/ sahabiah yang tidak pulang ke kampung, tahniah diucapkan.Teruskan tugas kalian di sini. Selamat bercuti. Ingat, kita adalah duta kepada agama kita sendiri. Mudah-mudahan amal yang kita buat pada hari ini akan mendapat habuan yang setimpal dengan apa yang kita lakukan. Siapa yang kerja lebih, dia akan dapat lebih. wallahu 'aklam.

No comments: