Friday, July 4, 2008

Welcome to all students

Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakaa tuh.

Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana diberi keizinan untuk saya bersua dalam warkah kecil ini. Tahniah saya ucapkan kepada adik-adik kerana berjaya menempatkan diri di menara gading dan baru sahaja ditabalkan menjadi mahasiswa UMS-KAL. Selamat datang. Sudah pasti tugas dan cabaran semakin besar.

Mahasiswa/i yang berbahagia,

Alam sekolah menengah/matriikulasi/diploma sudah pun kita tinggalkan, kini tiba pula kita lalui alam mahasiswa bagi membawa jiwa-jiwa muda yang sarat dengan idealisme untuk menimba ilmu dan pengalaman di universiti. Tidak lupa juga saya mewakili Badan Dakwah Dan Kerohanian mengalu-alukan kembalinya semua mahasiswa-mahasiswi ke UMS-KAL. Saya mendoakan semester yang baru ini dapat melonjakkan momentum akademik dan sahsiah kita.

Saya tertarik dengan personaliti seorang anak muda dari Amerika, John Tyler Hammons, seorang mahasiswa berusia 19 tahun, yang telah memenangi kerusi Datuk Bandar Muskogee di Oklahama dalam sebuah pilihan raya yang diadakan pada 1 April 2008 baru-baru ini di salah sebuah negeri di Amerika Syarikat tersebut. John Tyler Hammons yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Muskogee High School telah menerima 70 peratus undi di pusingan akhir menewaskan bekas Datuk Bandar, Hershel Ray McBride yang berumur 70 tahun yang telah menjadi Yang Berhormat di kawasan itu sebanyak 3 kali.

Apa yang lebih menarik bagi anak muda ini, tidak ada istilah pemisahan antara dunia akademik dan dunia politik kemahasiswaan, kedua-duanya adalah suatu keseimbangan dan kemestian. Tidak terfikir oleh mahasiswa tahun pertama jurusan Sains Politik dan Pentadbiran Awam di Universiti Oklahama ini untuk menjadi ‘ulat buku’ semata-mata tanpa mempedulikan apa yang berlaku dalam masyarakat luar kampusnya. Buktinya, Hammons pernah menjadi Presiden Persatuan Anti-Dadah Berbahaya di sekolah tingginya itu. Tidak terlintas juga olehnya untuk berhenti belajar setelah mula meleburkan dirinya dalam bidang politik, bahkan baginya : "Being elected does not change my desire to continue my education. We will schedule our time in an appropriate fashion so that I can be mayor and stay in school."

Mahasiswa/i yang berbahagia,

Dalam kita bergembira pada hari ini, perlu kita sedari tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah diisyhtiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai “nakbah” yang bermaksud malapetaka atau bencana besar. Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta) ke luar negara, manakala 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka. Kita seharusnya lebih peka terhadap isu sebegini.

Cukup setakat ini sahaja yang boleh saya paparkan dalam ruangan ini, nasihat saya supaya kita dapat berjimat cermat dalam keadaan harga minyak dan barangan yang tinggi sekarang, sekian wassalam.

Mahasiswa Pencetus Pembaharuan Semasa

No comments: