Tuesday, July 1, 2008

IPTA terima 70,941 pelajar baru

Bumiputera isi 62.19 peratus tempat sesi akademik 2008/2009 mulai hari ini

KUALA LUMPUR: Sejumlah 70,941 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan asasi mula mendaftar sebagai pelajar baru bagi sesi akademik 2008/2009 mulai hari ini di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Daripada jumlah itu, Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan 30,757 tempat bagi lepasan SPM dan setaraf dengannya untuk mengikuti program diploma dan persediaan di semua IPTA bagi sesi 2008/2009.

Bagi lepasan STPM, sejumlah 40,184 ditawarkan tempat bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda. Program yang ditawarkan IPTA bagi lepasan SPM dan setaraf untuk sesi akademik kali ini membabitkan 169 program dengan 36 daripadanya Persediaan Asasi manakala 133 lagi diploma.

Jumlah itu meningkat 17.2 peratus atau 5,281 tempat berbanding 25,476 yang ditawarkan mengikuti program berkenaan di semua 20 IPTA tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata tahun ini, pihaknya menerima 67,143 permohonan calon lepasan STPM, matrikulasi dan asasi dan masing-masing memenuhi kelayakan minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.00 ke atas.

Berdasarkan pecahan kaum pula, beliau berkata, seramai 24,989 atau 62.19 peratus (Bumiputera), 12,445 atau 30.9 peratus (Cina) dan 2,750 atau 6.84 peratus (India). Daripada jumlah itu, 24,862 atau 61.87 peratus adalah calon aliran sains manakala 15,322 atau 38.13 (sastera).

Dalam perkembangan berkaitan, di Universiti Teknologi Mara (UiTM), menawarkan 28,117 tempat kepada pelajar lepasan SPM, STPM, matrikulasi dan lepasan diploma di semua 13 kampus cawangannya di seluruh negara.

Selain program diploma, UiTM dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, berkata pihaknya juga menawarkan program asasi sains, kejuruteraan, TESL dan undang-undang.

UiTM menawarkan 15,033 tempat pengajian diploma dan 13,084 tempat bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda. Kampus UiTM di Shah Alam akan mengendalikan 2,531 tempat pengajian peringkat diploma/asasi dan 10,357 tempat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Tarikh pendaftaran pelajar bermula hari ini bagi program diploma dan esok bagi program Ijazah Sarjana Muda khusus bagi calon lepasan STPM dan matrikulasi. Bagi calon lepasan diploma tarikh pendaftaran adalah 5 hingga 6 Julai ini.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula akan menerima masuk 5,234 pelajar baru bagi semester pertama sesi 2008/2009 mulai hari ini dan esok di dua kampusnya di Serdang dan Bintulu, Sarawak.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, dalam kenyataannya berkata, ini merangkumi 4,224 pelajar peringkat Bacelor dan 300 pelajar Asasi Sains Pertanian di kampus induknya di Serdang, manakala 710 pelajar diploma mendaftar di kampus Bintulu.

Katanya bagi peringkat Bacelor, kluster Sains Gunaan mencatat pendaftaran pelajar baru paling ramai, iaitu 1,503 orang, diikuti Sains Sosial (1,430), Sains Tulen (622), Kejuruteraan Teknikal (496) dan Perubatan (173).

Katanya, Bacelor Perakaunan dan Bacelor Pentadbiran Perniagaan adalah program yang menawarkan pendaftaran pelajar baru paling ramai di UPM, masing-masing 200 pelajar.

"Jumlah keseluruhan pelajar lelaki ialah 1,613 atau 30.81 peratus dan perempuan 3,621 atau 69.19 peratus," katanya.

Nik Mustapha berkata, UPM juga menawarkan tempat pengajian kepada 27 atlit sukan bertaraf kebangsaan bagi mengikuti pelbagai program pengajian di UPM. Jumlah tawaran kemasukan pelajar baru seramai 5,234 itu berkurangan 889 pelajar berbanding 6,123 pada tahun sebelumnya.

Sumber: Berita Harian Online, Selasa, 01 Julai 2008, 26 Jamadilakhir 1429

No comments: