Tuesday, June 2, 2009

Pemikiran P Ramlee

Saya baru sahaja selesai menonton filem “Nujum Pak Belalang” yang entah keberapa kali sudah di tonton. Itu lah bisa penangan filem Allahyarham P Ramlee. 29 Mei, masyarakat seni dalam negara mengenang ulangtahun ke 36 pemergian Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, yang meninggal akibat satu kemalangan jalan raya pada tahun 1973.

Walaupun sudah 36 tahun P Ramlee meninggalkan persada seni, namun namanya terus popular, malah turut digemari oleh anak-anak generasi millenium, walaupun kebanyakan filem yang disiarkan hanyalah hitam putih.

Menyusuri gelagat Seniman Agung ini, menyebabkan anak-anak kecil ketawa terkikik-kikik, menghafal dan mengulangi dialog-dialog lucu beliau, buat gurau senda bersama rakan taulan. Jika kita melihat dan menghayati mesej sinikal yang disampaikan beliau, dalam beratus filem, sama ada yang dilakonkan atau diarahkan P Ramlee.

Walaupun P Ramlee berkarya dan berlakon pada era 1950-an sehingga awal 1970-an, namun kebanyakan filem-filem beliau boleh dijadikan contoh realistik sepadan dengan realiti yang berlaku dalam masyarakat moden hari ini.

Pada tahun-tahun tersebut, Malaya atau Semenajung Tanah Melayu masih lagi mundur dan kuno. Kuala Lumpur dipenuhi hutan dan lombong-lombong bijih timah. Kuala Lumpur pada ketika itu masih lagi dalam kategori kampung.

Pengangkutan awam masih terkebelakang, tiada bangunan pencakar langit, tiada televisyen, tiada handphone, jauh sekali internet.

Namun, P Ramlee mempunyai minda terkehadapan dalam membentuk dan menyampaikan mesej yang berani kepada masyarakat melalui filem lakonan dan arahan beliau. P Ramlee berani memaparkan sketsa mengenai kezaliman dan ketidakadilan Sultan atau pemerintah, ketidakadilan hakim, sikap berat sebelah pihak berkuasa, ketamakan penguasa atau golongan peniaga, penindasan terhadap golongan miskin dan banyak lagi.

Filem 'Hang Tuah' mempunyai mesej yang mendalam mengenai ketaatan rakyat walaupun golongan Istana berlaku tidak adil. Lawak dalam filem 'Nujum Pak Belalang' memaparkan ada Raja yang sanggup bertaruh (dalam konteks sekarang berjudi), filem 'Laksamana Do Re Mi' misalnya memaparkan bagaimana hancurnya kerajaan negara 'Pasir Dua Butir' akibat kezaliman Menteri Fasola, juga bagaimana keuntungan berlipatganda diraih hasil jualan 'hamba abdi' seperti dalam filem 'Tiga Abdul'.

Sidang bawah Dewan Undangan Negeri Perak yang diadakan di bawah pokok, ditamsilkan kini seumpama arahan Raja negara 'Pasir Dua Butir' kepada memanda menteri dan laksamana yang kehilangan kuasa akibat kezaliman perampas kuasa yang tamak. Banyak lagi misal-misal yang boleh disebutkan.

Hakikatnya, sebahagian besar intipati mesej yang dibawakan oleh P Ramlee dan rakan-rakan karyawan waktu itu, memaparkan realiti yang berlaku dalam masyarakat, negara, pemerintah dan golongan istana.

Namun keberanian dan kebenaran mesej yang disampaikan oleh P Ramlee sudah tidak wujud kepada karyawan filem mahupun drama yang ada hari ini. Banyak filem-filem tempatan sekarang lebih berunsurkan hiburan semata, lalu dimasukkan elemen tahyul dan mistik bagi meraih jumlah kutipan dan penonton.

Hari ini kita tidak akan dapat melihat ketidakadilan pihak istana, walaupun mungkin ia benar-benar wujud. Kita tidak akan dapat menyaksikan kezaliman penguasa, khususnya polis dan kita tidak sesekali akan dihidangkan bagaimana ketidakadilan undang-undang.

Jika kita menonton filem Hindustan, karyawan mereka lebih berani, mempunyai minda yang terbuka untuk memperjuangkan hak rakyat dan mempamer jenayah golongan penguasa.

Malangnya, minda masyarakat hari ini 'dimandomkan' oleh filem dan drama yang stereotaip. Semuanya pengampu dan pemuji penguasa. Apabila golongan karyawan kita mempunyai sifat sebegini kerana takut kepada penguasa, mereka sebenarnya hanya membentuk masyarakat mempunyai minda yang terkebelakang. Tengok saja lah drama 'Gerak Khas' yang sudah mencapai usia lebih 10 tahun. Bagi saya, ia lebih bersifat pengampu.

Kemajuan dan teknologi moden hanya diaplikasikan dalam proses pembikinan filem, bukan kepada pembentukan minda. Hakikat ini hanya menjelaskan bahawa minda karyawan zaman 1950-an hingga 1970-an seperti P Ramlee, jauh lebih matang dan terkehadapan.

Karya-karya P Ramlee juga mempunyai pengaruh yang besar dalam politik negara, sehingga kebanyakan dialog dan babak dalam filemnya secara sinikal dan dijadikan bahan perbandingan.
P Ramlee berani membuka minda masyarakat Melayu khususnya, pada tahun 1950-an hingga awal 1970-an, namun kebelakangan ini unsur-unsur sebegini sudah semakin lenyap.

Teringat semasa berkunjung ke Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam gombongan Gerak Idealisme Merdeka(GIM) di bawah bos Akhi Syukri ketika itu, saya sempat melawat ke Institut Pemikiran Tun Mahathir. Sepatutnya, perlu juga ada Institut Pemikiran P. Ramlee. Saya mahukan ahli GAMIS begini. Ya, saya mahukan kampus saya juga seperti P Ramlee. Mempunyai idealisme yang jauh dan besifat semasa. Mungkin juga P. Ramlee mengkaji Al-Quran terlebih dahulu sebelum menggubah dan membuat setiap filemnya.

Sambil menonton filem “Nujum Pak Belalang”, Pok Leh mengajukan soalan kepada saya, “Kenapa filem Hang Tuah sudah ada warna, sedangkan filem yang sudah lewat dibuat hanya hitam putih?”(dalam loghrat Terengganu). “Entah la Belalang.....”, saya menjawab ringkas.

2 comments:

Anonymous said...

Tang keadilan istana tu awak silap. awak tak baca habis kot pasal perlembagaan...

View Profile: Rantong™

hasellusiby said...

salam...

tumpang ziarah. jika ada yang berminat dengan teori konspirasi, sejarah nusantara yang hilang, sufism, kebangkitan akhir zaman..sila lah ke nusanaga.blogspot.com

harap salam ukhwah akan bertaut demi masa depan..sekian

......................................