Sunday, November 23, 2008

Michael Jackson peluk Islam

"LOS ANGELES: Penyanyi kontroversi Amerika Syarikat, Michael Jackson, memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mikaeel, nama malaikat yang memberi rezeki.

Superstar muflis berusia 50 tahun itu dilaporkan memakai jubah dan kopiah ketika mengucap dua kalimah syahadah di hadapan seorang imam dalam satu majlis di sebuah rumah rakannya di sini.

Akhbar The Sun dalam laporannya semalam mendedahkan majlis itu diadakan beberapa hari sebelum Jackson atau ‘Jacko’ dihadapkan ke Mahkamah Tinggi London, selepas disaman oleh seorang putera Arab.

Jacko yang dibesarkan sebagai penganut Kristian, dikatakan mengambil keputusan menukar agamanya ketika beliau menggunakan studio di rumah kawan rapatnya untuk merekodkan album baru.

Rakannya, David Wharnsby seorang penulis lagu Kanada dan produser Philip Bubal, yang menasihatkan Jacko supaya memeluk Islam. Kedua-duanya juga sudah memeluk Islam dengan nama baru mereka Dawud Wharnsby Ali dan Idris Philips.

“Mereka mula berbincang mengenai agama dan bagaimana mereka menjadi seorang yang lebih baik dengan menukar agama. Tidak lama kemudian Michael mula menerima idea itu,” kata sumber yang dipetik akhbar itu.

Jacko yang merakamkan lagu terkenal seperti The Way You Make Me Feel, bagaimanapun menolak nama alternatif, Mustafa bermaksud orang yang terpilih.

Penyanyi Britain, Yusuf Islam, 60, atau nama asalnya, Cat Stevens, mengalu-alukan Jacko sebagai saudara baru.

Jacko kini berdoa untuk ke Makkah selepas satu majlis diadakan di rumah pemain keybord Toto, Steve Porcaro, 51, di Hollywood Hills yang menyusun album Thriller penyanyi itu.

Jacko, yang jarang keluar rumah tanpa memakai topeng, dijangka memberi keterangan Isnin ini dalam tuntutan saman berjumlah £4.7 juta (RM25.3 juta) oleh Putera Abdulla Al-Khalif dari Bahrain. -Agensi

Wednesday, November 12, 2008

Sejarah tokoh gerakan Islam moden

Hassan al Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari, 1949, Arab:حسن البنا) merupakan reformis sosial dan politik Mesir yang terkenal sebagai pengasas gerakan Jamiat al-Ikhwan al-Muslimun.

Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.

Bapanya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna, merupakan seorang seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal, lulusan Universiti Al-Azhar, yang menulis dan menyumbang menulis kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam dan juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.


Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada 1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.. (Mitchell 1969, 1; Lia 1998, 22-24)


Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922. (Mitchell 1969, 2; Lia 25-26). Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.


Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British. (Mitchell 1969, 3; Lia 1998, 26-27)


Pada tahun 1923, pada usia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sekolah latihan guru di Kaherah. Kehidupan di ibu negara menawarkannya aktiviti yang lebih luas berbanding di kampung dan peluang bagi bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya), tetapi dia amat terganggu dengan kesan Kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional. (Mitchell 1969, 2-4; Lia 1998, 28-30)


Dia turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka dengan peningkatan atheism dan pengaruh pendakwah Kristian. (Mitchell 1969, 5)


Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.


Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, dia menulis bahawa dia bercadang menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak, agar dapat megajar mereka "matlamat agama dan sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Dia mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, bandar provincial terletak di Zon Terusan Suez. (Mitchell 1969, 6)


Al-Imam Hassan al-Banna kemudainnya menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun.


Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, dia melaksanakan matlamatnya memberi kelas malam bagi keluarga anak muridnya. Dia juga berceramah di masjid, malah dikedai kopi, yang masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat dengan elit keagamaan tempatan, dan dia mengamalkan polisi mengelakkan kontrovesi agama. (Mitchell 1969, 7; Lia 1998, 32-35)

Dia sedih dengan tanda-tanda jelas pengawalan ketenteraan dan ekonomi di Isma'iliyya: kem ketenteraan British, kemudahan awam dimiliki oleh kepentingan luar, dan tempat tinggal mewah milik pekerja Syarikat Terusan Suez, bersebelahan dengan rumah haram pekerja Mesir. (Mitchell 1969, 7)

Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.


Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik.


Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan. Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah ditembak pada waktu Zohor 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.


Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.

Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Hassan_al_Banna

Mencari calon pilihan

Mahasiswa ISLAM dibahunya tertunggak seribu harapan yang datang dari pelbagai sudut perlulah menyedari semakin hari semakin berat tanggungan seribu harapan itu, perlu kekadang diheret, kekadang dipikul, kekadang ditolak, dan kekadang perlu dipeluk. Agenda perjuangan mahasiswa dalam arena pembentukan sejak akhir-akhir ini telah dikaburi dek pelbagai racun pemusnah. Perjuangan ini suci jika ia berada dalam lipatan kain putih yang membalutinya, ia akan kotor, sekiranya diselimuti dengan kekotoran jiwa dan harga diri. “Mahasiswa egen pengubah” slogan keramat yang pernah meletakkan mahasiswa melalui perjuangan mereka berada nun tinggi digunung harapan masyarakat. Suara keramat mereka pernah ketika dahulu mampu menarik kepercayaan masyarakat meletakkan mahasiswa berada dibarisan hadapan dalam membela dan mempertahankan masyarakat. Pernah jari jemari ini meraba-raba untuk memetik bunga semangat yang dahulunya pernah menjadi gilaan masyarakat. Namun semakin dekat jari jemari ini dengan bunga perjuangan ini, baru kutahu rupanya bunga itu berantingkan duri. Tapi mengapa kumbang tidak pernah berputus asa untuk mendekati, sekalipun bunga itu ranting berduri. “Mahasiswa agen pengubah” ahh…mungkin ia hanya untuk zaman dahulu, tidak di zaman ku, atau ia pemanis mulut untuk zaman ini… pelbagai kemungkinan yang mungkin dirasai dengan pelangi perjuangan mahasiswa. Tingkat atas pelangi mahasiswa mungkin lain yang dijiwainya, peringkat tengah mungkin kabur warnanya, tingkat bawah sudah cukup baginya ataupun sebaliknya. Jika satu ketika dahulu slogan ini dianggap keramat, mungkin ia dibaluti dengan barisan perjuang yang begitu sejati dalam membawa slogan keramat ini sehinggakan kejayaan itu dicapai mungkin dengan tangisan, mungkin dengan tangan bergari, mungkin juga tidak tidur pagi, dan mungkin perut berikat batu tali. Sebenarnya ia bukan perkara mungkin tapi ia adalah realiti.

Adakah kamu menyangka kami akan membiarkan kamu menggunggap kata “kami sudah beriman” sedangkan kamu tidak diuji...

Tidak terlambat rasanya bagi kita untuk mencari formula bagi mengembalikan kegemilangan itu untuk kita jiwai. Perjuangan sebenarnya satu agenda yang akan meletakkan mahasiswa pada tempatnya. Sebenarnya slogan keramat itu dari perjuangan, dipakai pada pakaian perjuangan mahasiswa, berada dalam bekas perjuangan mahasiswa, berada dalam perjuanngan kesatuan mahasiswa dan perjuangan bersama mahasiswa. Inilah hebatnya perjuangan, ia diibaratkan seperti bulan yang dikelilingi bintang-bintang yang sentiasa memberi khidmat bagi yang hidup merata dalam kelam malam bersalut derita.

Ayuh kita bersama untuk tatapi keindahan bulan itu! Kita yakin kita mampu untuk mengembalikan sejarah itu untuk kita lakarkan dalam potret perjuangan mahasiswa buat tatapan perjuangan masa depan. Biarlah ia ditatap dan dihayati bagi mereka yang akan mengampai tangan untuk menyambung rantaian perjuangan suci ini. Aku perlukan mereka yang mahu, aku hendak kerelaan mereka yang tidak seteru, aku mencari tangisan malam mu yang akan membawa bahtera lalu, hebat pengorbanan mu, aku mahukan mereka yang ingin melihat umat ini bersatu. Langit tak sentiasa mempamerkan cantik kelipan bintang, hari juga tidak pernah merelakan bulan purnama sentiasa, kerana itu pungguk sentiasa rindukan bulan. Begitu juga dengan perjuangan, ia tidak rela membiarkan tiang serinya ini disandar dengan kemanisan mainan dunia.

Jesteru itu, aku ini sentiasa mencari diri-diri yang tidak mengharapkan serpihan duniawi yang menjadi rebutan manusia duniawi. Kerana ku yakin tiang-tiang seri yang mendokong perjuangan mahasiswa bukanlah mereka cintakan duniawi, nabi pernah memberikan isyarat kepada kita bahayanya manusia duniawi ini. Perkara ini pernah ditakuti baginda, kenapa ia menjadi gilaan sebahagian kita. Ku juga yakin, slogan ini akan mampu untuk kita pacakkan di tengah-tengah kepercayaan masyarakat. Tuai padi sawah bertebing, tuai ilmu berhati suci, Sekiranya kita dapat kuasai ilmu. Tidak ada khilaf ulamak dalam menyatakan ia penting dan tidak penting, ingat tak..? diperumpamakan kelebihan golongan yang menuntut ilmu dengan a’bid seribu tahun juga seperti jutaan bintang dan bulan yang keseorangan. Begitu juga, Perjuangan ini tidak dapat direalisasikan jika kita tidak dapat menyatukan tangis dan tawa mahasiswa, suka dan duka mereka, kita hanya akan Berjaya dengan formula satu fikrah satu amal. Jika perjuangan kita Berjaya untuk menyatukan semua itu, maka kita yakin masyarakat juga akan mempercayai sang mahasiswa ini mampu untuk menyatukan mereka dengan sengat yang cukup berbisa.

Apakah kita tidak lagi dapat melihat jenis apakah mahasiswa yang diinginkan? “penyatuan”…”ayuh kita bersatu!”… “marilah kita bersama!”… “ kita tidak mahu lagi musuh caturkan kita di papan catur pertelingkahan”, kerana coretan sejarah memadai untuk kita insafi, jatuhnya kerajaan islam kerana pemimpin yang suka rakyatnya berpecah belah. Inilah yang mereka mahukan dari kepimpinan mahasiswa. Masyarakat menanti-nanti kelompok mahasiswa yang Berjaya memimpin institusi mahasiswa. Percayalah wahai mahasiswa, masyarakat tidak sanggup memberi kepercayaan mereka pada mahasiswa yang sanggup merobet kesatuan sesama mereka. Mahasiswa sebenarnya telah diberi satu kepercayaan dalam sosial kemasyarakatan untuk menerima status institusi. Ini kerana kita adalah golongan yang terpilih dari jutaan masyarakat, hanya kita sahaja yang terpilih untuk memakai kalungan mahasiswa. Falsafah pilih adalah diantara baik dan buruk atau terbaik dan baik atau terbaik dan paling terbaik. Jadi sekurang-kurangnya kita tahu yang kita sebenarnya berada dalam bekas yang baik. Kepercayaan yang diberi kepada aku dan sahabat-sahabat kali ni sangat bermakna. Kepimpinan yang silih berganti itu adalah lumrah dalam perjuangan. Namun persoalannya, siapakan calon yang sesuai?. Selamat bersidang.

Thursday, November 6, 2008

Adakah beliau dapat membantu kemenangan Islam?


Kemenangan besar Obama memang sudah dijangka. Dengan pelbagai strategi dan pelan tindakan yang utuh, tiada siapa yang boleh persoalkan kemenangan besar presiden kulit hitam pertama Amerika yang bakal menduduki Rumah Putih Januari depan.

Setiap langkah, kata-kata dan fikiran senator yang dulu di label sebagai masih mentah menggamit sokongan dan imaginasi ramai , sehingga mengalir sokongan dari mereka yang tidak layak mengundi (baca: warga dunia yang dahagakan Amerika yang baru).

Setiap lapisan masyarakat "di sentuh".

Yang tua menaruh harapan baru buat Amerika yang sedang lemas dalam krisis ekonomi dan entah apa lagi di depan. Yang muda percaya aspirasi kepimpinan yang mendengari ramai dan suara rakyat.

Kini bukan masanya memperkatakan betapa jayanya strategi Obama dalam mengemudi kempen hingga ke Rumah Putih. Ya, Obama dan orang-orangnya memang hebat. Pengajaran untuk kita.

Friday, October 24, 2008




Saya tertarik dengan seorang pemuda Arab Mesir, dapat barbahasa Melayu fasih dengan dialek Kelantan. Sama-sama lah kita bangga dengan bahasa kita disamping belajar bahasa asing. Selepas ni siapa nak ikut aku pergi pelajar Bahasa Arab di Yamen dan Bahasa Inggeris di Amerika. Jom lah. Doa-doa kan lah ya, Insya' Allah.

Sunday, October 12, 2008

Puasa Enam dan Persoalan mengenainya

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).
Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ . رواه مسلم.


Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا . رواه البخاري.


Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ. رواه مسلم.


Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ . رواه مسلم.


Maksudnya: “Nabi s.a.w melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:
1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ . آل عمران: 133


Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ . رواه البخاري

Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا . رواه البخاري

Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.Wallau'aklam.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين

Sumber ilmu: Ustaz Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian.

Wednesday, October 8, 2008

Cinta Syawal

"Suatu ketika Syawal terlibat pembicaraan dengan gurunya….

Syawal mempertanyakan makna cinta dan gurunya pun menjawab:
“Masuklah kedalam hutan, pilih dan ambillah satu batang ranting yg menurutmu paling baik, tetapi engkau haruslah berjalan ke depan dan jangan kembali ke belakang.Pada saat kau sudah memutuskan pilihanmu, keluarlah dari hutan dengan ranting tersebut”.

Maka masuklah Syawal ke dalam hutan dan keluarlah Syawal tanpa membawa sebatang ranting pun.Gurunya bertanya, maka jawab syawal: “Saya sebenarnya sudah menemukan ranting yang bagus, tetapi saya berfikir barangkali didepan saya ada ranting yang lebih baik. Tetapi setelah saya berjalan ke depan ternyata ranting yang sudah saya tinggalkan tadilah yang terbaik. Maka saya keluar hutan tanpa membawa apa-apa”.

Guru itu pun berkata: “ Itulah makna Cinta ”.


Lalu Syawal pun bertanya apa makna perkawinan. Guru pun menjawab: “ Sama seperti ranting tadi, namun kali ini engkau haruslah membawa satu pokok yg kau fikir paling baik dan bawalah keluar dari hutan”.


Maka masuklah Syawal ke dalam hutan dan keluarlah Syawal dengan membawa pohon yng tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu indah.Gurunya pun bertanya, maka jawab syawal: “Saya dapati pohon yang indah daunnya, besar batangnya.. Tetapi saya tak dapat memotongnya dan pastilah saya tak mampu membawanya keluar dari dalam hutan …. Akhirnya saya tinggalkan. Kemudian saya temukan pohon yang tidak terlalu buruk, tidak terlalu tinggi dan saya fikir mampu membawanya kerana mungkin saya tidak akan menemukan pohon seperti ini di depan sana. Akhirnya saya pilih pohon ini kerana saya yakin bisa merawatnya dan menjadikanya indah”.

Lalu sang guru berkata: “ Itulah makna Perkahwinan ”.


Begitu banyak pilihan di depan kita seperti pohon pohon beserta rantingnya di dalam hutan, tetapi kita mesti menentukan satu pilihan dan bila terlalu memilih tidak satu pun akan kita dapati, kerana kesempatan itu hanya sekali dan kita harus terus maju seperti waktu yang bergilir ke depan, yang tidak pernah tersimpan pada hari kelmarin dan bersemayam pada masa lalu kita.



Disakitkan-NYA kite sekejap, tapi cepat-cepat disembuhkan semula kerana cinta-NYA, disusahkan sedikit agar insaf namun segera di senangkan semula, itulah belaian-NYA.Dimarahkan juga kadang-kadang kerana sayang, namun tidak lama kerana kasih-NYA.Dipangil-pangil kepada-NYA, untuk meminta itu dan ini, Tuhan amat melayani hambanya, tapi si hamba tidak peduli langsung!!


Sumber:
http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=17014

Thursday, October 2, 2008

Satu hari di Hari Raya


Seorang peserta program orang yang tak balik raya, sedang membuat persiapan


Selamat hari raya semua...


Gantung, jangan tak gantung


Menunggu tetamu


Jemput makan




Segaknya



Ini lah wajah-wajah yang tak balik ke kampung

Di rumah Pak Ibrahim

Saturday, September 27, 2008

Menunggu Syawal

Hari demi hari, bumi KAL makin lengang, akibat pulangnya perantau ke kampung halaman tercinta. Cuma tinggallah orang yang tiada kampung di sini untuk menyambut lebaran di sini. Rahimi, Maziah, Nur, Shila, Rohaya, Zu, Kamal antara orang yang paling awal pulang. Mungkin untuk melepaskan kerinduan setelah penat ‘bekerja’. Kadang-kadang perlu juga bersama dengan keluarga, meninggalkan seketika beban yang sarat dipikul di Kampus. Ramadhan bakal meninggalkan kita. Sedih juga ingatkan amal yang tidak seberapa ini. Aku pulak tahun ni cukup lah 3 tahun beraya di sini. Kadang-kadang teringat jugak waktu beraya di kampung dulu-dulu. Tahun ni rasanya lain sikitlah mood raya di kampung tu, sebab kali pertama sambut raya tanpa Tok Wan. Nak beraya tempat orang ni jarang boleh raya, tapi kalau tempat sendiri Insya’Allah balik juga. Kata orang kalau sayang tinggal-tinggalkan.

“Mung dok balaik raye ker tahun ni Min?”, tanya kawan-kawan lama di kampung. Aku tidak terus jawab soalan tu, kerana ia soalan dalam skrip tiap-tiap tahun yang aku dengar. Ada juga sampai marah-marah. Apa nak di jawab. Ada yang nak bertunang raya ke-3 pun nak ajak aku juga temankan. Diam je la. Alah, peduli lah diorang nak kata apa pada aku, cuma pada family ,aku explain lah bagus-bagus. Biarlah tahun ini sekali lagi aku berkongsi suka, sedih, riang ria bersama adik-adikku yang aku tak balik di KAL ni. Tahun depan tak tahu lagi dapat beraya di tempat orang. Lepas keluar ni kena pulak mengembara cari calon. Satu fikrah belum tentu dapat menjamin kesinambungan jalan ini.


Sekadar coretan di penghujung Ramadhan . Kepada pembaca, terima kasih kerana sudi melawat blog saya yang daif ini. Artikle kali, cuma berkong si pengalaman di alam kampus. Moga ALLAH s.w.t merahmati kita semua dan Berjaya di Madrasah Ramadhan , Insya’Allah.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMENANGAN (‘AIDIL FITRI) MAAF ZAHIR BATIN.
“SEMARAKKAN PERJUANGAN"