Sunday, August 31, 2008

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Alhamudulillah, hari ini saya bersama sahabat-sahabiah lain telah melabuhkan jawatan dalam organisasi untuk memberi peluang kepada generasi-generasi baru. 4 perkara yang telah diketengahkan ini diharap dapat melonjakkan persatuan seterusnya memantapkan lagi gerak kerja.
  1. Perkasakan Pentarbiahan
  2. Agresifkan Dakwah kebagai "movement"
  3. Memperkasakan HELWANI
  4. Tingkatkan Daya Intelektualan Aktivis
"Sebagai muslim yang sejati, kedatangan dan kehadiran Ramadhan  yang mulia pada tahun ini merupakan sesuatu yang amat membahagiakan kita. Betapa tidak, dengan menunaikan ibadah Ramadhan, amat banyak keuntungan yang akan kita peroleh, baik dalam kehidupan di dunia maupun di akhirat kelak.

Disinilah letak pentingnya bagi kita untuk membuka tabir rahsia puasa sebagai salah satu bahagian terpenting dari ibadah Ramadhan. Dr. Yusuf Qardhawi dalam kitabnya Al Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada lima rahsia puasa yang dapat kita buka untuk selanjutnya boleh kita rasakan kenikmatannya dalam ibadah Ramadhan

1. Menguatkan Jiwa

Dalam hidup, tak sedikit kita dapati manusia yang didominasi oleh hawa nafsunya, lalu manusia itu menuruti apapun yang menjadi keinginannya meskipun keinginan itu merupakan sesuatu yang bathil dan mengganggu serta merugikan orang lain. Kerananya, di dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dalam erti berusaha untuk mengendalikannya, bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu yang bersifat duniawi. Manakala dalam peperangan ini manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan terjadi kerana manusia yang kalah dalam perang melawan hawa nafsu itu akan mengalihkan penuhanan dari kepada Allah Swt sebagai Tuhan yang benar kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia pada kesesatan. Allah memerintahkan kita memperhatikan masalah ini dalam firman-Nya yang ertinya: Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.

Dengan ibadah puasa, maka manusia akan berhasil mengendalikan hawa nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat, bahkan dengan demikian, manusia akan memperoleh darjat yang tinggi seperti layaknya malaikat yang suci dan ini akan membuatnya mampu mengetuk dan membuka pintu-pintu langit hingga segala doanya dikabulkan oleh Allah Swt, Rasulullah Saw bersabda yang ertinya: Ada tiga golongan orang yang tidak ditolak doa mereka: orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. (HR. Tirmidzi)

2. Mendidik Kemahuan

Puasa mendidik seseorang untuk memiliki kemahuan yang sungguh-sungguh dalam kebaikan, meskipun untuk melaksanakan kebaikan itu terhalang oleh berbagai perkara. Puasa yang baik akan membuat seseorang terus mempertahankan keinginannya yang baik, meskipun peluang
untuk menyimpang begitu besar. Kerana itu, Rasulullah Saw menyatakan: Puasa itu setengah dari kesabaran.

Dalam kaitan ini, maka puasa akan membuat kekuatan rohani seorang muslim semakin prima. Kekuatan rohani yang prima akan membuat seseorang tidak akan lupa diri meskipun telah mencapai keberhasilan atau kenikmatan duniawi yang sangat besar, dan kekuatan rohani juga akan membuat seorang muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sukar.

3. Menyihatkan Badan

Disamping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa yang baik dan benar juga akan memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani. Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah Saw, tetapi juga sudah dibuktikan oleh para doktor atau ahli-ahli kesihatan dunia yang membuat kita
tidak perlu meragukannya lagi. Mereka berkesimpulan bahwa pada saat-saat tertentu, perut memang harus diistirahatkan dari bekerja memproses makanan yang masuk sebagaimana juga
mesin harus diistirahatkan, apalagi di dalam Islam, isi perut kita memang harus dibagi menjadi tiga, sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk air dan sepertiga untuk udara.

4. Mengenal Nilai Kenikmatan

Dalam hidup ini, sebenarnya sudah begitu banyak kenikmatan yang Allah berikan kepada manusia, tapi banyak pula manusia yang tidak pandai mensyukurinya. Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan dua, dapat dua tidak terasa nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya. Padahal kalau manusia memperhatikan dan merenungi, apa yang diperolehnya sebenarnya sudah sangat menyenangkan kerana begitu banyak orang yang memperoleh sesuatu tidak lebih banyak atau tidak lebih mudah dari apa yang kita peroleh.

Maka dengan puasa, manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi tentang kenikmatan yang sudah diperolehnya, tapi juga disuruh merasakan betapa besar sebenarnya nikmat yang Allah berikan kepada kita. Hal ini kerana baru beberapa jam saja kita tidak makan dan minum sudah terasa betul penderitaan yang kita alami, dan pada saat kita berbuka puasa, terasa betul besarnya nikmat dari Allah meskipun hanya berupa sebiji kurma atau seteguk air. Disinilah letak pentingnya ibadah puasa berguna mendidik kita untuk menyedari tinggi nilai kenikmatan yang Allah berikan agar kita selanjutnya menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan dari Allah meskipun dari segi jumlah memang sedikit dan kecil. Rasa syukur memang akan membuat nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya, Allah berfirman yang ertinya: Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan esungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.

5. Mengingat dan Merasakan Penderitaan Orang Lain

Merasakan lapar dan haus juga memberikan pengalaman kepada kita bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Sebab pengalaman lapar dan haus yang kita rasakan akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam, sementara penderitaan orang lain entah bila akan berakhir. Dari sini, semestinya puasa akan menumbuhkan dan memantapkan kesedaran kita kepada kaum muslimin lainnya yang mengalami penderitaan yang hingga kini masih belum
diatasi.

Oleh kerana itu, sebagai simbol dari rasa kesedaran itu, sebelum Ramadhan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat agar dengan demikian setahap demi setahap kita dapat mengatasi persoalan-persoalan umat yang menderita. Bahkan zakat itu tidak hanya bagi kepentingan orang yang miskin dan menderita, tapi juga bagi kita yang mengeluarkannya agar dengan demikian, hilang kekotoran jiwa kita yang berkaitan dengan harta seperti gila harta, dan sebagainya.

Allah berfirman yang ertinya: Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoakan untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Sambut dengan Gembira

Kerana rahsia puasa merupakan sesuatu yang amat penting bagi kita, maka sudah sepantasnyalah kalau kita harus menyambut kedatangan Ramadhan tahun ini dengan penuh rasa gembira sehingga kegembiraan kita ini akan membuat kita dapat melaksanakan ibadah Ramadhan nanti dengan ringan meskipun sebenarnya ibadah Ramadhan itu berat. Kegembiraan kita terhadap datangnya bulan Ramadhan harus kita tunjukkan dengan berupaya semaksima mungkin memanfaatkan Ramadhan tahun ini sebagai momentum untuk mentarbiyyah (mendidik) diri, keluarga dan masyarakat kearah pengukuhan atau pemantapan taqwa kepada Allah Swt, sesuatu yang memang amat kita perlukan bagi meraih keberkatan dari Allah Swt.

Friday, August 29, 2008

Merdeka!!!


Saban tahun, tanggal 31 Ogos akan bergemalah perkataan merdeka di setiap bibir rakyat Malaysia. Sebagai rakyat yang patriotik, perlu kita menyedari dan faham merdeka dalam erti kata yang sebenar. Nikmat yang kita kecapi hari ini adalah hasil susah payah perjuangan orang-orang yang terdahulu dari kita. Tapi cukupkah kita hanya terlepas dari belenggu penjajahan fizikal daripada penjajah?. Bagi saya, walaupun British sudah meninggalkan kita selama 51 tahun, tetapi kita masih lagi belum merdeka dalam ertikata yang sebenar. Tengoklah contoh pengisian kemerdekaan itu sendiri, banyak program yang melalaikan dan menjauhkan kita dengan Sang Pencipta. Walaupun ada aktiviti bacaan yasin dan doa selamat, tapi bagi saya ia adalah sekadar tempelan kepada keseluruhan program. Tidak kira di dalam atau di luar kampus, benda ini sama sahaja. Biasanya yang di bawah ini akan ikut pembawaan dari pihak atasan. Jemputan artis barat, konsert Avril Lavigne merupakan contoh yang tidak sesuai dengan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan membawa nilai buruk kepada akhlak rakyat Malaysia. Sangat menyedihkan dengan ada nya konsert ini sedikit sebanyak akan menjejaskan budaya dan penerapan nilai yang tidak baik di kalangan anak-anak muda khususnya dalam bulan kemerdekaan ini. Malangnya orang yang membawa masuk artis ini bukanlah dalam kategori anak muda, tapi yang rosaknya anak-anak muda kita. Pihak kerajaan harus menyedari hakikat dan kesan akibat kemasukan budaya yang tidak sihat ini. Jangan kita sia-siakan pengorbanan golongan ulama’ yang banyak membantu membebaskan diri dari belenggu penjajah ini. Tidak cukup lagikah hiburan yang ada di Malaysia sekarang?. Hakikatnya, kita masih terbelenggu dengan penjajahan

Tuesday, August 19, 2008

Pulau

Surah Al-An’am, ayat 153

”Dan bahawa(yang diperintahkan) ini, adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan yang (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa.”

Sirah baginda Rasulullah sangat berkait rapat dengan realiti semasa pada hari ini. Tidak kira di dalam atau di luar kampus. Terasa kerdilnya diri ini untuk mentarbiyyah orang lain.

Orang-orang yang tidak ikut serta dalam perang Tabuk

Peristiwa ini banyak dimainkan oleh golongan munafik. Diceritakan oleh Ibn Hisham di dalam kitab sirahnya:

”Orang-orang munafiq tidak ikut serta dalam perang Tabuk, demikian juga tiga orang dari orang Islam iaitu Ka’ab ibn Malik, Murarah ibn Rabi’, dan Hilal ibn Umayyah. Rasulullah s.a.w setibanya di Madinah mengatakan kepada para sahabatnya ’Sekali-kali jangan kamu bercakapdengan salah seorang dari yang bertiga itu’?.”

Adapun orang-orang munafiq pula mereka datang bersumpah di hadapan Rasulullah memberi alasan dan sebab kenapa mereka tidak ikut serta dalam perang Tabuk, Rasulullah s.a.w hanya berjabat tangan dengan mereka. Sesungguhnya Allah dan RasulNya sekali-kali tidak memaafkannya. Dengan adanya perintahkan oleh Rasulullah maka tiga orang ini dipulaukan.
Setelah 50 hari tiga orang ini di pulaukan, barulah Allah s.w.t menerima taubat mereka. Bayangkan sahabat besar ini dipulaukan kerana sekali sahaja tidak ikut serta dalam satu peperangan (Tabuk), sedangkan perang lain beliau mengikutinya. Dipulau kerana mereka ini golongan yang kuat imannya dan faham.

Peristiwa Ifkh

Wajah berseri pipi kemerahan,

Engkau digelar Aisya Humaira,

Namun bukan, untuk ku bicarakan,

Hingga dirimu jadi sanjungan....

Begitulah sebahagian bait-bait kata lagu ”Aisya Humaira” dari UNIC. Ketika berada semenanjung dulu, abangku, Juzlan ada membuat kuliah subuh secara bersiri tentang tafsir surah An-Nur. Di situlah peristiwa Ifkh dicerita panjang. Peristiwa ini tersirat seribu satu ibrah(pengajaran) sebenarnya. Jalan ceritanya sangat menarik untuk dihayati. Apa yang saya ingin highlight di sini ialah bagaimana Aisyah dah Rasulullah menghadapi satu fitnah yang cukup dahsyat dari golongan munafiq. Dengan lewatnya wahyu diturunkan, Rasulullah sangat berduka–cita kerana tidak dapat menjawab tuduhan tersebut. Kemudian, turunya wahyu yang membersihkan Aisyah dalam surah An-Nur. Semoga diri saya, orang yang berada dibarisan hadapan, belakang, para serikandi tidak mudah patah semangat dan terus lari dari medan tanpa kesan.

Sunday, August 17, 2008

Ke mana menghilang???

“Syekh, ana nk ke Kelantan lah bulan Ramadhan ni”, “Nak buat apa?” saya bertanya. “Mahu jumpa Ulama’ di sana la”. Itulah luahan Nul pada saya. Mungkin waktu pagi itu sudah agak lewat, tetapi kami masih lagi berbual. Saya dapat rasakan kata-kata beliau pada saya itu satu keinginan untuk bertemu dengan para pewaris nabi di sana. Saya kagum dengan semangat yang beliau ada itu dalam bebanan tugas yang dipikul masih lagi boleh bergurau, ketawa sekali sekala untuk mengubat jiwa yang lara. Kadang-kadang kami nyanyi sama-sama lagu “Humaira” nyanyian UNIC. Sampai Pok Nik naik meluat dengar. ”Tak dok lagu lain doh ko?. Laju samo ja ni”. Ucapan maaf beliau pada hadirin sebelum ini juga membayangkan tempoh “pemerintahan” kami hampir sampai ke penghujungnya. Dan akan digantikan dengan adik-adik baru yang saya yakin lebih hebat dari kami. Sesungguhnya jawatan itu hanya taklifan, tetapi tugas dai’e tidak pernah terlepas sampai ke mati. Saya masih lagi ingat perjanjian ’Takwim Air Terjun Kiamsom’ yang mengikat hati saya untuk melihat generasi ini dan akan datang dapat berkembang. Masing-masing mempunyai cita-cita peribadi masing-masing. ”Ana nak grad dengan 3 pointer la”, ”Ana lepas keluar ni, nak kawin terus”, Ana nak ambil alih jawatan Datuk Musa Aman, Ketua Menteri Sabah",...dan banyak lagi. Itulah semangat kepemudaan orang-orang yang berada di Sabah ini. Begitu juga dengan serikandinya. Saya yakin kepimpinan ini boleh mencorak dan mencipta suasana. Bukan terbelenggu dengan suasana yang masih ada. Jangan takut untuk buat silap. Kadang-kadang hati kecil ini tertanya-tanya, sampai bila kah kita mahu selesaikan perkara kecil dan remeh?. Ingin melihat sesuatu yang sempurna. Padahal masalah ummat banyak lagi perlu dibincangkan. Hedonisme pesta konvo, gejala pelacuran, couple, arak dan lain-lain lebih penting dan perlu diselesaikan. Sahabat-sahabat lain pula dapat menyentuh isu-isu negara, isu dunia, dan global. Tapi kita di sini masih lagi membincangkan isu furu’ (cabang). Sampai kiamat tidak akan selesai. Masalah memang sentiasa wujud, cuma bagaimana kita mahu mengurangkannya. Masalah wujud itu tandanya kita buat kerja.


Uslub

Bercakap tentang uslub (pendekatan), dai’e perlu tahu dan pandai menilai mad’unya. Cara bercakap dan menegur perlu berhikmah. Barhikmah ini bukan terus berlembut, tapi kena dengan keadaan dan situasi mad’u nya. Kadang-kadang penyampainan yang kurang sopan, banyak kehilangan mad’u. Mereka yang berjiwa besar melihat masalah sebagai cabaran dan berfikir seperti engineer yang ingin membaiki mesin-mesin besar yang rosak, mereka berhadapan dengan risiko yang besar. Mereka tidak pernah takut, bahkan terus mencuba dan mencuba. Tingkatkan ilmu pengetahuan, kefahaman, dan 'amal. Insya’ Allah 31 Ogos (Ahad) saya akan jemput ustaz untuk buat kelas Al-Quran. Semua dijemput hadir. Wallahu’aklam.

Wednesday, August 13, 2008

Kekosongan Jiwa

Kebanyakan orang yang komit dalam gerak kerja Islam ini tidak terlepas dari berasa kadang-kadang tersisih atau disisihkan. Disebut dalm buku ”Golongan Yang Tercicir Disepanjang Jalan Dakwah” Oleh Ust. Fathi Yakan, ramai berlaku dikalangan orang yang berada di barisan hadapan(pimpinan) kerana ujian nya lebih hebat dari yang berada dibelakang. Memang sifat muslim biasa, Iman nya ada masa meningkat dan ada kalanya menurun. Kelompangan dan kekosongan jiwa ini sepatut perlu diisi dengan menambahkan amalan ruhiyyah. Ini perlu disingkap dan difahami oleh setiap para dai’e.

Berbeza Pandangan

Rakyat memandang dari sudut rakyat, Pemimpin memandang dari skop kepimpinan, dan mantan pimpinan melihat dari sudut mantan pimpinan. Masing-masing melihat dari sudut yang berbeza. Semua ini adalah contoh variasi dari sudut pandangan sesuatu perkara. Perbezaan pandangan yang tidak bercanggah dari sumber hukum asal (Al-Quran dan Sunnah) diizinkan di dalam Islam.

Mengkritik Kepimpinan

Pindaan AUKU sedikit memberi ruang kepada mahasiswa belajar cara berpolitik. Jika kita lihat kepimpinan negara pada hari ini banyak menerima kritikan. Tidak kira dari rakan dalam kerajaan atau dari pembangkang. Kritikan ini sebenarnya menggambarkan adanya sifat semulajadi manusia untuk melihat kebaikan dan pemulihan terhadap perkara yang tidak sesuai. Kritikan ini perlu didahulukan dengan cara yang berhikmah dan disertakan dengan cadangan yang membina. Begitu juga mahasiswa, perlunya mengkritik dan sedia untuk dikritik. Ramai orang yang suka mengkritik, tetapi takut untuk dikritik...

Monday, August 11, 2008

Karnival Kesenian dan Kebudayaan Islam 2008(KKKI’08)

Assalamua’alaikum…

Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnianya, kita masih lagi diizinkan berada di alam dunia bagi menggalas tanggung jawab sebagai individu muslim. Selawat dan salam kepada junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda, para sahabat, tabi’in, seterus nya para pejung Islam yang tegar mendaulatkan agama Allah s.w.t hingga kehari kiamat.

Para pembaca sekalian,

Karnival Kesenian dan Kebudayaan Islam 2008 (KKKI’08) telah pun melabuh tirainya pada 3 Ogos 2008 baru-baru ini. Ia meninggalkan kenangan pahit manis dan suka duka yang cukup bererti kepada saya dan para ajk saya. Semestinya kenangan ini cukup berharga kepada individu-individu yang begitu komited di sepanjang karnival ini berlangsung. Saya juga merakamkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua ajk karnival yang sentiasa membantu dari awaknya, tidak kira dari segi gerak kerja, wang ringgit, material atau sokongan moral bagi menjayakan karnival pada kali ini. Tidak lupa juga kepada penyelaras program, En. Shamsulbahri Bin Mohd Nasir yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada kami. Bagitu juga kepada penyumbang-penyumbang, penaja-penaja muslim dan bukan muslim, seterus nya kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program ’amal Islami pada kali ini.

Para pembaca yang budiman,

Saya mengambil peluang pada kali ini bagi menyatakan dalam kita menyeru kearah kebaikan, perlu juga ada mencegah kearah kemungkaran. Manusia tidak akan baik dan elok jika kita mencampuradukkan elemen positif dan negatif dalam waktu yang sama kerana tarikan negatif lebih kuat sebenarnya. Ibarat meletak baja pada sepohon pokok, pada masa yang sama diletakkan racun juga pada pokok tersebut. Konsert atau hiburan melampau(hedonisme) akan merosakkan daya intelektual para mahsiswa. Universiti adalah tempat membina dan memupuk daya intelektual mahasiswa supaya mereka ini dapat meneraju negara dengan cemerlang, gemilang, dan terbilang pada masa yang akan datang. Saya menasihatkan kepada pihak-pihak yang bertanggung jawab dan berautoriti supaya menilai kembali, menapis dan menyekat segala program dan aktiviti yang berunsurkan hedonisme dan juga perkara yang boleh merosakkan masyarakat kampus. Cukuplah apa yang berlaku di luar sana memberi gambaran dan penilaian kepada kita tentang keadaan generasi muda pada hari ini. Saya juga menyeru semua mahasiswa, pensyarah, dan kakitangan universiti supaya sama-sama ’turun padang’ dalam membantu Universiti melahirkan modal Insan dan minda kelas pertama bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi jiwa, akhlak dan sahsiahnya turut cemerlang. Sesungguhnya masyarakat di luar sana ternanti-nanti, bilakah mahasiswa akan turun menghulurkan bantuan dan dorongan kepada mereka.

Para pembaca sekalian,

Izin kan saya menyingkap dan membandingkan betapa jauhnya jurang dakwah kita pada hari ini dengan perjuangan Rasulullah s.a.w. Selepas peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah memulakan langkah dengan lebih kehadapan menyampaikan seruan Islam di Taif, mengajak pemimpin bani Tsaqif beriman kepada Allah setelah melihat bumi Makkah tidak dapat menerima Islam pada ketika itu. Tiba-tiba bani Tsaqif ini lebih jahat daripada pemimpin yang ada di Makkah lagi. Di riwayatkan batang tubuh Rasulullah yang mulia bersama dengan anak angkatnya, Zaid Bin Haritsah r.a mendapat luka hingga menitiskan darah setelah dilontar dengan batu oleh anak-anak muda di Taif. Kemudian Rasulullah s.a.w mengundurkan diri buat sementara dan beteduh di bawah pohon anggur lalu bermunajat kepada Allah, dengan munajatnya yang mashur;

Mafhum nya;

”Ya Allah tuhanku, aku mengadu kepadamu lemahnya aku, tiadanya kekuatan, tiadanya helah daripadaku, engkaulah tuhan orang yang lemah tertindas, engkaulah tuhanku. Kepada siapa engkau serahkan aku ini, adakah engkau serahkan aku kepada orang yang jauh, yang tidak mengenaliku ataupun musuh yang mencari peluang untuk membuat apa sahaja kepadaku. Jika sekiranya tiada murkamu nescaya aku tidak peduli....”

Walaupun jasadnya sudah berdarah, dihentam oleh musuh-musuh Islam, nabi kita Muhammad s.aw tetap menunjukkan kesabaran yang tinggi, menunjukkan jiwa yang besar, yang berbeza daripada rasul-rasul yang lebih dahulu daripada Baginda. Inilah perbandingan dan pengajaran yang perlu kita lihat secara bersama. Semoga kisah pendek ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada diri saya sendiri dan kepada golongan yang membawa risalah Islam supaya istiqamah dalam membawa Islam itu sendiri.

Rakan-rakan sekalian,

Saya juga menyambut baik dengan pindaan terhadap AUKU di bawah kepimpinan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Khaled Nordin yang memberi sedikit kelonggaran kepada mahasiswa untuk terlibat sama dalam politik sebenar. Walaupun ia tidak bersifat total, tetapi sedikit ruang telah dibuka. Tahniah diucapkan.

Saya tertarik dengan kata-kata Bapak Natsir, salah seorang tokoh di Indonesia berkata;

“Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.” – Bapak Natsir

Akhir kata sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ajk KKKI ’08 dan semua yang telibat memberi komitmen dalam menjayakan program pada kali ini. Mewakili semua ajk KKKI’08 saya memohon kemaafan jika terdapat kesalahan dan kekurangan sama ada kami sedari ataupun tidak disepanjang karnival ini berlangsung. Semoga amal yang sedikit ini, menjadi bukti kita di hadapan Allah s.w.t di hari pembalasan nanti, Insya’ Allah. Wallahu’aklam.

”Mesra Masyarakat Melalui Seni & Budaya Islam”


Wednesday, August 6, 2008

Nasihat penting kepada para pemuda pemudi Islam


Pemuda adalah golongan penting untuk membawa Islam kedalam masyarakat manusia. Mereka adalah golongan yang dikatakan sebagai tiang kepada negara. Peranan mereka amat penting dalam proses pembentukan sesebuah negara. Seperti pandangan pemikir-pemikir dan cendikiawan-cendikiawan bahawa untuk melihat keadaan masa depan sesebuah negara itu lihatlah kepada keadaan pemuda-pemudi mereka sekarang.

Pandangan ini membayangkan kepada semua tentang kekuatan sesebuah negara itu bergantung kepada kekuatan pemuda-pemudinya. Jika mereka sentiasa dalam keadaan ingin menguatkan negara mereka, atau berusaha untuk mencari kejayaan dalam hidup mereka di dunia dan akhirat, maka insyaAllah negara itu akan kuat dimasa depan.

Dan sebaliknya iaitu jika golongan ini sentiasa sibuk ataupun disibukkan dengan hiburan dan perkara yang melalaikan pemikiran dan jiwa mereka, tiada berkehendak untuk berfikir tentang masa depan mereka dan mereka hanya tahu berpesta atau berhibur semata-mata maka, kita bakal melihat kemusnahan negara tersebut dimasa depan.

Tetapi untuk membentuk pemuda pemudi seperti yang dikehendaki Islam, ianya bukanlah perkara yang enteng. Mereka hendaklah membina diri dengan lengkap dan sempurna mengikut pandangan Islam. Antara keperluan yang digariskan ialah :

1.Membina kematangan akal :

Dengan memberi perhatian bersungguh kepada ilmu supaya menjadi seorang pemuda yang faham ilmu fardhu ain ,kifayah, dunia, akhirat dan lain-lain. Dengan ilmu juga mereka akan mengenali Allah sebagai pencipta, kenal Islam sebagai agama, yakin dengan perjuangan sebagai jalan untuk menyelamatkan manusia. Dengan ilmu juga mereka dapat memajukan diri, keluarga dan negara menurut Islam. Firman Allah swt :

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Bacalah dengan nama Rabbmu yang menciptakan (al-Alaq ayat : 1)

2.Membina roh dengan ibadah :

Ibadah merupakan hubungan dengan Allah secara langsung. Samada yang dinamakan rukun wajib seperti sembahyang puasa, ataupun sunat seperti membaca al-Quran, zikir, tahlil dan lain-lain. Dengan kita pada setiap masa memenuhi tuntutan ibadah ini maka kita sebenarnya telah menguatkan roh. Kesan dari roh yang kuat ini maka akan terhasilah ibadah yang ikhlas kerana Allah. Jika badan kita kuat tetapi roh kita lemah maka ini menunjukkan tiada keseimbangan dalam memenuhi tuntutan kedua-duanya.

3.Membina akhlak :

Sifat-sifat yang mulia, kelakuan-kelakuan yang baik sebagai seorang Islam dan mukmin perlu diterap dalam diri pemuda-pemudi Islam. Bukan sahaja kepintaran tetapi juga mesti kepintaran itu disulami dengan akhlak mulia. Dengan akhlak kita akan dapat menawan hati manusia. Berusaha untuk mencontohi akhlak rasulullah kerana rasulullah ada bersabda yang bermaksud “ Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak.”

4.Membina tubuh badan yang sihat:

Mengambil makanan seimbang adalah penting bagi membina tubuh yang sihat selain dari bersukan. Tubuh badan yang sihat akan menjana akal yang sihat. Tubuh badan yang sihat juga akan membentuk manusia yang cergas, fikiran akan menjadi tajam, ianya juga secara tidak langsung akan dapat memberikan kekuatan fizikal kepada pemiliknya.

5.Membina hubungan dengan masyarakat:

Suka bergaul dengan mereka, mengambil berat tentang mereka, bertanyakan khabar mereka, berkenalan dengan mereka, berkhidmat secara ikhlas kerana Allah tanpa mengira fahaman, mazhab, kedudukan dan batasan. Selari dengan firman Allah Taala :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ

“Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara taqwa“ (surah al-Maidah; 2)

Untuk mereka mendapat kejayaan didalam sesuatu bidang, mereka hendaklah memahami perkara asas dahulu. Kalau petani mesti tahu perkara asas tanaman, kalau nelayan mestilah tahu asas tentang ikan dan laut. Begitu jugalah dengan perhubungan dengan masyarakat. Mereka mestilah mengetahui akan perkara asas yang menjadi kesukaan atau kebencian masyarakat kerana dengan cara ini kita dapat mengenali masyarakat secara dekat. Justeru, kita mestilah bergaul dan mengenali mereka dengan lebih dekat lagi agar dakwah kita akan menjadi lebih berkesan.

Inilah ciri-ciri pemuda harapan, yang mampu menyelamatkan Islam, negara dan ummatnya. Oleh kerana jalan perjuangan untuk memartabatkan Islam penuh dengan cabaran dan dugaan, maka mereka yang mampu untuk meredah melepasi rintangan kepada kejayaan ini hanyalah mereka yang kuat rohani dan jasmaninya.

Hari ini pemuda-pemuda kita ramai yang bersemangat tetapi mereka kehilangan kekuatan. Kelima-lima kekuatan tadi juga mampu membentuk muslim dan mukmin yang terbuka, bertoleransi dan tidak melulu, melampau, ekstrim, taksub membabi buta. Malah kelima-lima kekuatan tadi juga akan dapat melahirkan pemuda yang berpandangan jauh, tidak sempit pemikirannya dan juga boleh diajak berbincang secara ilmiah.

Bayangkan keadaan dimana pemuda muslim yang cuba berdakwah kepada orang ramai tentang Islam mempunyai sifat-sifat seperti tidak cerdik kerana tiada ilmu dan tidak mendalaminya, tidak melakukan ibadat wajib mahupun sunat, berakhlak buruk, tidak bermaya dan tidak bergaul dengan masyarakat. Adakah anda fikir dakwah mereka akan berjaya?

Maka sewajarnyalah bagi semua pemuda Islam untuk melengkapkan diri mereka semua dengan kekuatan-kekuatan ini. Janganlah kerana kejahilan dan kelemahan dalam diri kita, akan menyebabkan usaha untuk mendaulatkan Islam menjadi sia-sia. Dan paling malang apabila orang yang berminat untuk mendalami Islam semakin menjauhi Islam kerana kelemahan kita. Akhirnya Islam pula dipandang buruk kerana kita Waiyyazubillah.

Wallahua’lam

Sumber: http://zuliadin.wordpress.com/