Sunday, August 17, 2008

Ke mana menghilang???

“Syekh, ana nk ke Kelantan lah bulan Ramadhan ni”, “Nak buat apa?” saya bertanya. “Mahu jumpa Ulama’ di sana la”. Itulah luahan Nul pada saya. Mungkin waktu pagi itu sudah agak lewat, tetapi kami masih lagi berbual. Saya dapat rasakan kata-kata beliau pada saya itu satu keinginan untuk bertemu dengan para pewaris nabi di sana. Saya kagum dengan semangat yang beliau ada itu dalam bebanan tugas yang dipikul masih lagi boleh bergurau, ketawa sekali sekala untuk mengubat jiwa yang lara. Kadang-kadang kami nyanyi sama-sama lagu “Humaira” nyanyian UNIC. Sampai Pok Nik naik meluat dengar. ”Tak dok lagu lain doh ko?. Laju samo ja ni”. Ucapan maaf beliau pada hadirin sebelum ini juga membayangkan tempoh “pemerintahan” kami hampir sampai ke penghujungnya. Dan akan digantikan dengan adik-adik baru yang saya yakin lebih hebat dari kami. Sesungguhnya jawatan itu hanya taklifan, tetapi tugas dai’e tidak pernah terlepas sampai ke mati. Saya masih lagi ingat perjanjian ’Takwim Air Terjun Kiamsom’ yang mengikat hati saya untuk melihat generasi ini dan akan datang dapat berkembang. Masing-masing mempunyai cita-cita peribadi masing-masing. ”Ana nak grad dengan 3 pointer la”, ”Ana lepas keluar ni, nak kawin terus”, Ana nak ambil alih jawatan Datuk Musa Aman, Ketua Menteri Sabah",...dan banyak lagi. Itulah semangat kepemudaan orang-orang yang berada di Sabah ini. Begitu juga dengan serikandinya. Saya yakin kepimpinan ini boleh mencorak dan mencipta suasana. Bukan terbelenggu dengan suasana yang masih ada. Jangan takut untuk buat silap. Kadang-kadang hati kecil ini tertanya-tanya, sampai bila kah kita mahu selesaikan perkara kecil dan remeh?. Ingin melihat sesuatu yang sempurna. Padahal masalah ummat banyak lagi perlu dibincangkan. Hedonisme pesta konvo, gejala pelacuran, couple, arak dan lain-lain lebih penting dan perlu diselesaikan. Sahabat-sahabat lain pula dapat menyentuh isu-isu negara, isu dunia, dan global. Tapi kita di sini masih lagi membincangkan isu furu’ (cabang). Sampai kiamat tidak akan selesai. Masalah memang sentiasa wujud, cuma bagaimana kita mahu mengurangkannya. Masalah wujud itu tandanya kita buat kerja.


Uslub

Bercakap tentang uslub (pendekatan), dai’e perlu tahu dan pandai menilai mad’unya. Cara bercakap dan menegur perlu berhikmah. Barhikmah ini bukan terus berlembut, tapi kena dengan keadaan dan situasi mad’u nya. Kadang-kadang penyampainan yang kurang sopan, banyak kehilangan mad’u. Mereka yang berjiwa besar melihat masalah sebagai cabaran dan berfikir seperti engineer yang ingin membaiki mesin-mesin besar yang rosak, mereka berhadapan dengan risiko yang besar. Mereka tidak pernah takut, bahkan terus mencuba dan mencuba. Tingkatkan ilmu pengetahuan, kefahaman, dan 'amal. Insya’ Allah 31 Ogos (Ahad) saya akan jemput ustaz untuk buat kelas Al-Quran. Semua dijemput hadir. Wallahu’aklam.

Wednesday, August 13, 2008

Kekosongan Jiwa

Kebanyakan orang yang komit dalam gerak kerja Islam ini tidak terlepas dari berasa kadang-kadang tersisih atau disisihkan. Disebut dalm buku ”Golongan Yang Tercicir Disepanjang Jalan Dakwah” Oleh Ust. Fathi Yakan, ramai berlaku dikalangan orang yang berada di barisan hadapan(pimpinan) kerana ujian nya lebih hebat dari yang berada dibelakang. Memang sifat muslim biasa, Iman nya ada masa meningkat dan ada kalanya menurun. Kelompangan dan kekosongan jiwa ini sepatut perlu diisi dengan menambahkan amalan ruhiyyah. Ini perlu disingkap dan difahami oleh setiap para dai’e.

Berbeza Pandangan

Rakyat memandang dari sudut rakyat, Pemimpin memandang dari skop kepimpinan, dan mantan pimpinan melihat dari sudut mantan pimpinan. Masing-masing melihat dari sudut yang berbeza. Semua ini adalah contoh variasi dari sudut pandangan sesuatu perkara. Perbezaan pandangan yang tidak bercanggah dari sumber hukum asal (Al-Quran dan Sunnah) diizinkan di dalam Islam.

Mengkritik Kepimpinan

Pindaan AUKU sedikit memberi ruang kepada mahasiswa belajar cara berpolitik. Jika kita lihat kepimpinan negara pada hari ini banyak menerima kritikan. Tidak kira dari rakan dalam kerajaan atau dari pembangkang. Kritikan ini sebenarnya menggambarkan adanya sifat semulajadi manusia untuk melihat kebaikan dan pemulihan terhadap perkara yang tidak sesuai. Kritikan ini perlu didahulukan dengan cara yang berhikmah dan disertakan dengan cadangan yang membina. Begitu juga mahasiswa, perlunya mengkritik dan sedia untuk dikritik. Ramai orang yang suka mengkritik, tetapi takut untuk dikritik...

Monday, August 11, 2008

Karnival Kesenian dan Kebudayaan Islam 2008(KKKI’08)

Assalamua’alaikum…

Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnianya, kita masih lagi diizinkan berada di alam dunia bagi menggalas tanggung jawab sebagai individu muslim. Selawat dan salam kepada junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda, para sahabat, tabi’in, seterus nya para pejung Islam yang tegar mendaulatkan agama Allah s.w.t hingga kehari kiamat.

Para pembaca sekalian,

Karnival Kesenian dan Kebudayaan Islam 2008 (KKKI’08) telah pun melabuh tirainya pada 3 Ogos 2008 baru-baru ini. Ia meninggalkan kenangan pahit manis dan suka duka yang cukup bererti kepada saya dan para ajk saya. Semestinya kenangan ini cukup berharga kepada individu-individu yang begitu komited di sepanjang karnival ini berlangsung. Saya juga merakamkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua ajk karnival yang sentiasa membantu dari awaknya, tidak kira dari segi gerak kerja, wang ringgit, material atau sokongan moral bagi menjayakan karnival pada kali ini. Tidak lupa juga kepada penyelaras program, En. Shamsulbahri Bin Mohd Nasir yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada kami. Bagitu juga kepada penyumbang-penyumbang, penaja-penaja muslim dan bukan muslim, seterus nya kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program ’amal Islami pada kali ini.

Para pembaca yang budiman,

Saya mengambil peluang pada kali ini bagi menyatakan dalam kita menyeru kearah kebaikan, perlu juga ada mencegah kearah kemungkaran. Manusia tidak akan baik dan elok jika kita mencampuradukkan elemen positif dan negatif dalam waktu yang sama kerana tarikan negatif lebih kuat sebenarnya. Ibarat meletak baja pada sepohon pokok, pada masa yang sama diletakkan racun juga pada pokok tersebut. Konsert atau hiburan melampau(hedonisme) akan merosakkan daya intelektual para mahsiswa. Universiti adalah tempat membina dan memupuk daya intelektual mahasiswa supaya mereka ini dapat meneraju negara dengan cemerlang, gemilang, dan terbilang pada masa yang akan datang. Saya menasihatkan kepada pihak-pihak yang bertanggung jawab dan berautoriti supaya menilai kembali, menapis dan menyekat segala program dan aktiviti yang berunsurkan hedonisme dan juga perkara yang boleh merosakkan masyarakat kampus. Cukuplah apa yang berlaku di luar sana memberi gambaran dan penilaian kepada kita tentang keadaan generasi muda pada hari ini. Saya juga menyeru semua mahasiswa, pensyarah, dan kakitangan universiti supaya sama-sama ’turun padang’ dalam membantu Universiti melahirkan modal Insan dan minda kelas pertama bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi jiwa, akhlak dan sahsiahnya turut cemerlang. Sesungguhnya masyarakat di luar sana ternanti-nanti, bilakah mahasiswa akan turun menghulurkan bantuan dan dorongan kepada mereka.

Para pembaca sekalian,

Izin kan saya menyingkap dan membandingkan betapa jauhnya jurang dakwah kita pada hari ini dengan perjuangan Rasulullah s.a.w. Selepas peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah memulakan langkah dengan lebih kehadapan menyampaikan seruan Islam di Taif, mengajak pemimpin bani Tsaqif beriman kepada Allah setelah melihat bumi Makkah tidak dapat menerima Islam pada ketika itu. Tiba-tiba bani Tsaqif ini lebih jahat daripada pemimpin yang ada di Makkah lagi. Di riwayatkan batang tubuh Rasulullah yang mulia bersama dengan anak angkatnya, Zaid Bin Haritsah r.a mendapat luka hingga menitiskan darah setelah dilontar dengan batu oleh anak-anak muda di Taif. Kemudian Rasulullah s.a.w mengundurkan diri buat sementara dan beteduh di bawah pohon anggur lalu bermunajat kepada Allah, dengan munajatnya yang mashur;

Mafhum nya;

”Ya Allah tuhanku, aku mengadu kepadamu lemahnya aku, tiadanya kekuatan, tiadanya helah daripadaku, engkaulah tuhan orang yang lemah tertindas, engkaulah tuhanku. Kepada siapa engkau serahkan aku ini, adakah engkau serahkan aku kepada orang yang jauh, yang tidak mengenaliku ataupun musuh yang mencari peluang untuk membuat apa sahaja kepadaku. Jika sekiranya tiada murkamu nescaya aku tidak peduli....”

Walaupun jasadnya sudah berdarah, dihentam oleh musuh-musuh Islam, nabi kita Muhammad s.aw tetap menunjukkan kesabaran yang tinggi, menunjukkan jiwa yang besar, yang berbeza daripada rasul-rasul yang lebih dahulu daripada Baginda. Inilah perbandingan dan pengajaran yang perlu kita lihat secara bersama. Semoga kisah pendek ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada diri saya sendiri dan kepada golongan yang membawa risalah Islam supaya istiqamah dalam membawa Islam itu sendiri.

Rakan-rakan sekalian,

Saya juga menyambut baik dengan pindaan terhadap AUKU di bawah kepimpinan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Khaled Nordin yang memberi sedikit kelonggaran kepada mahasiswa untuk terlibat sama dalam politik sebenar. Walaupun ia tidak bersifat total, tetapi sedikit ruang telah dibuka. Tahniah diucapkan.

Saya tertarik dengan kata-kata Bapak Natsir, salah seorang tokoh di Indonesia berkata;

“Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.” – Bapak Natsir

Akhir kata sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ajk KKKI ’08 dan semua yang telibat memberi komitmen dalam menjayakan program pada kali ini. Mewakili semua ajk KKKI’08 saya memohon kemaafan jika terdapat kesalahan dan kekurangan sama ada kami sedari ataupun tidak disepanjang karnival ini berlangsung. Semoga amal yang sedikit ini, menjadi bukti kita di hadapan Allah s.w.t di hari pembalasan nanti, Insya’ Allah. Wallahu’aklam.

”Mesra Masyarakat Melalui Seni & Budaya Islam”


Wednesday, August 6, 2008

Nasihat penting kepada para pemuda pemudi Islam


Pemuda adalah golongan penting untuk membawa Islam kedalam masyarakat manusia. Mereka adalah golongan yang dikatakan sebagai tiang kepada negara. Peranan mereka amat penting dalam proses pembentukan sesebuah negara. Seperti pandangan pemikir-pemikir dan cendikiawan-cendikiawan bahawa untuk melihat keadaan masa depan sesebuah negara itu lihatlah kepada keadaan pemuda-pemudi mereka sekarang.

Pandangan ini membayangkan kepada semua tentang kekuatan sesebuah negara itu bergantung kepada kekuatan pemuda-pemudinya. Jika mereka sentiasa dalam keadaan ingin menguatkan negara mereka, atau berusaha untuk mencari kejayaan dalam hidup mereka di dunia dan akhirat, maka insyaAllah negara itu akan kuat dimasa depan.

Dan sebaliknya iaitu jika golongan ini sentiasa sibuk ataupun disibukkan dengan hiburan dan perkara yang melalaikan pemikiran dan jiwa mereka, tiada berkehendak untuk berfikir tentang masa depan mereka dan mereka hanya tahu berpesta atau berhibur semata-mata maka, kita bakal melihat kemusnahan negara tersebut dimasa depan.

Tetapi untuk membentuk pemuda pemudi seperti yang dikehendaki Islam, ianya bukanlah perkara yang enteng. Mereka hendaklah membina diri dengan lengkap dan sempurna mengikut pandangan Islam. Antara keperluan yang digariskan ialah :

1.Membina kematangan akal :

Dengan memberi perhatian bersungguh kepada ilmu supaya menjadi seorang pemuda yang faham ilmu fardhu ain ,kifayah, dunia, akhirat dan lain-lain. Dengan ilmu juga mereka akan mengenali Allah sebagai pencipta, kenal Islam sebagai agama, yakin dengan perjuangan sebagai jalan untuk menyelamatkan manusia. Dengan ilmu juga mereka dapat memajukan diri, keluarga dan negara menurut Islam. Firman Allah swt :

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Bacalah dengan nama Rabbmu yang menciptakan (al-Alaq ayat : 1)

2.Membina roh dengan ibadah :

Ibadah merupakan hubungan dengan Allah secara langsung. Samada yang dinamakan rukun wajib seperti sembahyang puasa, ataupun sunat seperti membaca al-Quran, zikir, tahlil dan lain-lain. Dengan kita pada setiap masa memenuhi tuntutan ibadah ini maka kita sebenarnya telah menguatkan roh. Kesan dari roh yang kuat ini maka akan terhasilah ibadah yang ikhlas kerana Allah. Jika badan kita kuat tetapi roh kita lemah maka ini menunjukkan tiada keseimbangan dalam memenuhi tuntutan kedua-duanya.

3.Membina akhlak :

Sifat-sifat yang mulia, kelakuan-kelakuan yang baik sebagai seorang Islam dan mukmin perlu diterap dalam diri pemuda-pemudi Islam. Bukan sahaja kepintaran tetapi juga mesti kepintaran itu disulami dengan akhlak mulia. Dengan akhlak kita akan dapat menawan hati manusia. Berusaha untuk mencontohi akhlak rasulullah kerana rasulullah ada bersabda yang bermaksud “ Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak.”

4.Membina tubuh badan yang sihat:

Mengambil makanan seimbang adalah penting bagi membina tubuh yang sihat selain dari bersukan. Tubuh badan yang sihat akan menjana akal yang sihat. Tubuh badan yang sihat juga akan membentuk manusia yang cergas, fikiran akan menjadi tajam, ianya juga secara tidak langsung akan dapat memberikan kekuatan fizikal kepada pemiliknya.

5.Membina hubungan dengan masyarakat:

Suka bergaul dengan mereka, mengambil berat tentang mereka, bertanyakan khabar mereka, berkenalan dengan mereka, berkhidmat secara ikhlas kerana Allah tanpa mengira fahaman, mazhab, kedudukan dan batasan. Selari dengan firman Allah Taala :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ

“Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara taqwa“ (surah al-Maidah; 2)

Untuk mereka mendapat kejayaan didalam sesuatu bidang, mereka hendaklah memahami perkara asas dahulu. Kalau petani mesti tahu perkara asas tanaman, kalau nelayan mestilah tahu asas tentang ikan dan laut. Begitu jugalah dengan perhubungan dengan masyarakat. Mereka mestilah mengetahui akan perkara asas yang menjadi kesukaan atau kebencian masyarakat kerana dengan cara ini kita dapat mengenali masyarakat secara dekat. Justeru, kita mestilah bergaul dan mengenali mereka dengan lebih dekat lagi agar dakwah kita akan menjadi lebih berkesan.

Inilah ciri-ciri pemuda harapan, yang mampu menyelamatkan Islam, negara dan ummatnya. Oleh kerana jalan perjuangan untuk memartabatkan Islam penuh dengan cabaran dan dugaan, maka mereka yang mampu untuk meredah melepasi rintangan kepada kejayaan ini hanyalah mereka yang kuat rohani dan jasmaninya.

Hari ini pemuda-pemuda kita ramai yang bersemangat tetapi mereka kehilangan kekuatan. Kelima-lima kekuatan tadi juga mampu membentuk muslim dan mukmin yang terbuka, bertoleransi dan tidak melulu, melampau, ekstrim, taksub membabi buta. Malah kelima-lima kekuatan tadi juga akan dapat melahirkan pemuda yang berpandangan jauh, tidak sempit pemikirannya dan juga boleh diajak berbincang secara ilmiah.

Bayangkan keadaan dimana pemuda muslim yang cuba berdakwah kepada orang ramai tentang Islam mempunyai sifat-sifat seperti tidak cerdik kerana tiada ilmu dan tidak mendalaminya, tidak melakukan ibadat wajib mahupun sunat, berakhlak buruk, tidak bermaya dan tidak bergaul dengan masyarakat. Adakah anda fikir dakwah mereka akan berjaya?

Maka sewajarnyalah bagi semua pemuda Islam untuk melengkapkan diri mereka semua dengan kekuatan-kekuatan ini. Janganlah kerana kejahilan dan kelemahan dalam diri kita, akan menyebabkan usaha untuk mendaulatkan Islam menjadi sia-sia. Dan paling malang apabila orang yang berminat untuk mendalami Islam semakin menjauhi Islam kerana kelemahan kita. Akhirnya Islam pula dipandang buruk kerana kita Waiyyazubillah.

Wallahua’lam

Sumber: http://zuliadin.wordpress.com/