Tuesday, September 9, 2008

Dibawah kepimpinan ulama’

Bulan Ramadan ini sesungguhnya adalah bulan terbaik untuk bermuhasabah. Dalam keadaan berlapar dan berdahaga maka wajarlah kita bawa hati kita untuk mengkaji semula tindakan dan perbuatan kita selama ini apakah ianya telah memberikan manfaat dan faedah khasnya buat Islam ataupun kita rupa-rupanya selama ini berada dalam keadaan merugi dan membawa padah kepadanya.

Memang sukar untuk berterus terang walaupun terhadap diri sendiri, tetapi mudah-mudahan keberkatan Ramadan akan mencetuskan keikhlasan sehingga membawa kita untuk mudah berterus-terang dan meneropong diri tanpa prejudis.

Di bulan inilah kita perlu mencuri peluang untuk banyak membaca dan mengikuti kuliah dan program agama bagi memantapkan kefahaman agama kita disamping memperbanyakkan membaca al-Quran, bersolat sunat, beriktiqaf dan berdoa.

Ia laksana suatu persediaan bagi membolehkan kita mengharungi dengan jayanya bulan-bulan berikutnya di luar Ramadan nanti. Mengkoreksi diri setelah bermuhasabah adalah latihan paling mulia jika kita mampu melalui dan melaksanakannya.

Kalau sebelum ini kita berselisih pandangan, berlainan fikiran berhubung kaedah dan pendekatan, bercanggah fikiran, maka di bulan yang Allah perturunkan al Quran inilah sepatutnya kita bersedia membongkar kembali segala-galanya, serahkan penyelesaian kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w., berdasarkan firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dikalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalams esuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya" (an Nisaa: 59)

Dan siapakah jika tidak yang lebih baik untuk kita gantungkan penyelesaian tadi selain mereka yang ahli di dalamnya. Tidakkah Rasulullah saw telah berpesan kepada kita bahawa ulamak itu adalah pewaris para Nabi.

Dalam ketiadaan Nabi dan Rasul maka ulamak Islam yang ikhlas dan beramal dengan ilmunya itulah yang sewajarnya menjadi rujukan kita, tanpa menafikan ada juga ulamak yang sebaliknya yang harus kita berwasapada darinya.

Bagi yang beramal dengan ilmunya dan menjiwainya pula itulah maka Allah telah meletakkan mereka pada makam yang istimewa dari kita yang awam ini. Tidak, mereka tidak maksum tetapi mereka dicampakkan dengan kelebihan dekat pada Allah lantaran ilmu dan amalan mereka itu. Allah SWT berfirman (Faatir : 28):

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah para ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun'"

Ulamak jenis ini adalah murrabi, mu'addib dan rabbani. Murrabi dalam ertikata mereka berusaha meningkatkan ketaqwaan kita bagi menagih janji Allah dalam Al Quran iaitu untuk mendapat pembelaan-Nya dan untuk memperoleh kesejahteraan dunia dan Akhirat.

Mu'addib pula iaitu pendidik yang mendidik kita sebagai manusia yang benar-benar beradab, sama ada beradab dengan Tuhan mahu pun beradab dengan manusia atau makhluk. Manakala Rabbani pula adalah mereka ini dekat dengan Allah, llmu mereka langsung diberi oleh Tuhan. llmunya bukan sahaja dimiliki, malah diamal dan dihayati.

Lantas dalam dunia yang serba penuh dengan pancaroba dan dugaan ini, selain kita bergantung hidup pada fakta, ilmu dan logik akal, sebagai seorang Muslim, kita terikat untuk tidak melepaskan diri dari tali ikatan kita dengan Allah SWT. Bagaimana caranya jika tidak kita berada bersama para ulamak dalam setiap suasana dan ketika. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan jalan dan laluan, kini terpulanglah kepada kita untuk memilihnya ataupun tidak.

Allah SWT berfirman (al Ahzab: 1-3),

Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.”

Dan ayat-ayat Allah ini diakhiri dengan ayat ke 4 yang berbunyi:

(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya.

Dalam tafsir al Jalalayn yang menghuraikan ayat ke 4 di atas sebagai:

Allah tidak meletakkan dua hati dalam tubuh mana-mana manusia. Ayat ini bermaksud menafikan tohmahan golongan musuh yang kononnya mereka memiliki dua hati lantas melaluinya mereka dapat berhujah lebih baik berbanding Muhammad yang punya hanya satu minda.

(God has not placed two hearts inside any man: [this was revealed] in order to refute those disbelievers who said that they each had two hearts with which they could reason better than Muhammad's single mind)

Mudah-mudahan kita terus diberi peluang untuk bernaung di bawah para ulama’ yang seumpama ini. Semoga mahasiswa-mahasiswi Islam yang masih lagi berada di kampus mampu menggalas dan menjadi mengganti kepada para ulama’ yang mukhlisin dalam memimpin ummah pada masa yang akan datang. Di harap Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya, selamat menjalankan ibadat puasa Ramadan.

(Dipetik dan diubahsuai daripada: Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS, Sdr. Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir)

Monday, September 8, 2008

Pelik tapi benar

Sejumlah 49 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyertai lawatan sambil belajar ke Taiwan mulai hari ini. Daripada jumlah tersebut, 41 orang berlepas hari ini manakala lapan orang lagi, akan di sana esok....

Jika kita terbaca ruangan berita ini, semestinya kita boleh membuat andaian awal bagaimana dalam buan Ramadhan ini, pihak kerajaan umno/Barisan Nasional membuat perancangan ingin memindahkan para Ahli Parlimen (MP) mereka supaya tidak melompat pada 16 September nanti. Walaupun lawatan dan tarikh ini dinafikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai langkah BNBBC untuk mengadakan program pemukiman di luar negara pada bulan ini ada kaitan dengan pengumuman Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan pakatan pembangkang pada 16 September ini. Perlu kita ingat, dalam politik, tidak ada yang berlaku dengan secara kebetukan. Ianya adalah satu konspirasi...

Bagaimanapun Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), merancang untuk mengadakan program pemukiman secara tergesa-gesa tanpa menetapkan destinasi yang dituju sekali gus menampakkan ia bertujuan tertentu. Satu perkara yang agak pelik bagi saya, dan ia benar-benar terjadi pada hari ini.

Dimana Tarbiah kita?

Maghrib tadi, saya kurang berselera untuk menjamah nasi talam. Bertambah keringlah aku kalau macam ni. Mungkin disebabkan saya telah makan bubur brobok dah banyak. Sejenis masakan Bugis ala bubur lambuk semenanjung. Alhamdulillah, sedap. Kalau makan terlalu kenyang, alamak malas lah nak bertarawih malam ni.


Kadang-kadang saya berfikir sorang-sorang, macam mana nak wujudkan bi’ah solehah di kampus yang sekecil ini. Ada juga saya bertanya sahabat-sahabat tentang perkara ini. Tapi masih lagi menemuai jalan buntu. Nak hidupkan budaya cintakan majlis ilmu dirasakan masih lagi sukar. Kita kadang-kadang bercakap dalam konteks untuk mendominasi pemikiran dan tindakan mahasiwa di kampus, tetapi tahap ahli persatuan sendiri masih lagi mencari rentak dan memilih-milih aktiviti atau program. Teringat Diskusi Ilmiah selepas subuh tadi, jawapan daripada Yusuf tadi mengatakan tugas menyampaikan dakwah ini adalah bukan satu pilihan, tetapi satu kewajipan. Berkata Ustaz Fathi Yakan, dalam bukunya, ”Golongan-golongan yang tercicir disepanjang jalan dakwah” mengatakan antara sebab utama terjadinya gejala keciciran ini ialah kelemahan dari sudut tarbiah itu sendiri. Sebelum kita melihat ahli secara keseluruhan, ahli di dalam tarbiah sendiri pun kurang membantu aktiviti tarbiah, semestinya ini satu kelemahan dari sudut tarbiah semua ahli. Persatuan banyak menganjurkan aktiviti-aktiviti. Tidak kira bersifat ilmiah, akademik, kemasyarakatan dan lain-lain. Program paling hambar sambutannya adalah yang bersifat ilmiah. Contoh kelas pengajian Al-Quran pagi semalam sudah dibuktikan berbanding dengan aktiviti masak bubur brobok petang tadi. Sengaja saya tidak terlibat secara langsung kerana sudah ramai para pemerhati-pemerhati yang setia tadi. Saya bercakap bukan untuk membuka pekung, tetapi untuk memberi kesedaran kepada semua betapa perlu dan pentingnya kepada ilmu bagi seorang dai’e ini. Gunalah peluang seluas-luas dalam bulan Ramadhan kareem ini untuk mentarbiah diri sendiri dan ahli-ahli persatuan supaya kita dapat ijazah first class dari madrasah Ramadhan kali ini. Saya mendoakan kita semua dapat menghidupkan satu suasana berlumba dalam menuntut ilmu, terutama Ilmu Al-Quran. Selamat mencari lailatul Qadar.

Saturday, September 6, 2008

Tunggu dan lihat

Walaupun 16 September semakin hampir, sebagai orang yang ingin melihat Islam dijulang di tanah air tercinta ini, kita di nasihatkan supaya jangan terlalu ghairah dalam perkara ini. Tunggu dan lihat. Jika sekiranya ia menguntungkan Islam dan pengikutnya, kita mesti bersama menyokong perubahan ini. Tetapi jika ia tetap meminggirkan hukum Islam, ia menjadi satu kewajipan kepada kita melawannya. Kerana kita perlu menilai matlamat menguasai pilitik itu sendiri. Jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI) bersikap terlepas pandang dalam menentukan dasar kerajaan baru dengan tidak turut berbincang dengan pimpinan Parti Islam, maka kita tidak teragak-agak untuk menentang kerajaan baru dan keluar dari Pakatan Rakyat (PR). Saya pun belum pernah dengar janji dari DSAI untuk sama-sama tegakkan hukum Islam.

Sikap terlalu mengagungkan DSAI dikalangan ahli PAS sendiri yang merendahkan keupayaan Tuan Guru kita, walhal pimpinan kita adalah yang terlebih layak dalam memimpin kerajaan, dengan kemampuan Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Hadi sepatutnya diketengahkan dalam memimpin negara kita berpandukan cara-cara yang dibuat oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Tentulah Tuan Guru amat mengetahui cara yang dilakukan Nabi Muhammad S.A.W ketika ingin membentuk negara Islam Madinah yang mana sebelum itu dipersaudarakan dahulu kaum Muhajirin dan Ansar untuk mencairkan asabiah perkauman atau puak masing-masing hingga yang tinggal hanya roh Islam dan supaya perbezaan keturunan, warna kulit dan kedaerahan semua dihancurkan yang tinggal hanya Islam tiada satu pun yang boleh membanggakan atau merendahkan seseorang melainkan dengan ketaqwaan sahaja.

Mungkin boleh disamakan ahli PAS sebagi Muhajirin yang turut berhijrah meninggalkan kemewahan dikampung untuk menyebarkan Islam ke setiap negeri Malaysia dan PKR sebagai Ansar yang menolong dan memberi bantuan ini boleh menyatukan fikrah sesama pemimpin dan pendokong semestinya kita akan mampu mentadbir Malaysia dengan jaya dan mencapai redha Allah S.W.T. Bersama memacu perubahan, Insya’Allah.