Monday, August 11, 2008

Karnival Kesenian dan Kebudayaan Islam 2008(KKKI’08)

Assalamua’alaikum…

Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnianya, kita masih lagi diizinkan berada di alam dunia bagi menggalas tanggung jawab sebagai individu muslim. Selawat dan salam kepada junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda, para sahabat, tabi’in, seterus nya para pejung Islam yang tegar mendaulatkan agama Allah s.w.t hingga kehari kiamat.

Para pembaca sekalian,

Karnival Kesenian dan Kebudayaan Islam 2008 (KKKI’08) telah pun melabuh tirainya pada 3 Ogos 2008 baru-baru ini. Ia meninggalkan kenangan pahit manis dan suka duka yang cukup bererti kepada saya dan para ajk saya. Semestinya kenangan ini cukup berharga kepada individu-individu yang begitu komited di sepanjang karnival ini berlangsung. Saya juga merakamkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua ajk karnival yang sentiasa membantu dari awaknya, tidak kira dari segi gerak kerja, wang ringgit, material atau sokongan moral bagi menjayakan karnival pada kali ini. Tidak lupa juga kepada penyelaras program, En. Shamsulbahri Bin Mohd Nasir yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada kami. Bagitu juga kepada penyumbang-penyumbang, penaja-penaja muslim dan bukan muslim, seterus nya kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program ’amal Islami pada kali ini.

Para pembaca yang budiman,

Saya mengambil peluang pada kali ini bagi menyatakan dalam kita menyeru kearah kebaikan, perlu juga ada mencegah kearah kemungkaran. Manusia tidak akan baik dan elok jika kita mencampuradukkan elemen positif dan negatif dalam waktu yang sama kerana tarikan negatif lebih kuat sebenarnya. Ibarat meletak baja pada sepohon pokok, pada masa yang sama diletakkan racun juga pada pokok tersebut. Konsert atau hiburan melampau(hedonisme) akan merosakkan daya intelektual para mahsiswa. Universiti adalah tempat membina dan memupuk daya intelektual mahasiswa supaya mereka ini dapat meneraju negara dengan cemerlang, gemilang, dan terbilang pada masa yang akan datang. Saya menasihatkan kepada pihak-pihak yang bertanggung jawab dan berautoriti supaya menilai kembali, menapis dan menyekat segala program dan aktiviti yang berunsurkan hedonisme dan juga perkara yang boleh merosakkan masyarakat kampus. Cukuplah apa yang berlaku di luar sana memberi gambaran dan penilaian kepada kita tentang keadaan generasi muda pada hari ini. Saya juga menyeru semua mahasiswa, pensyarah, dan kakitangan universiti supaya sama-sama ’turun padang’ dalam membantu Universiti melahirkan modal Insan dan minda kelas pertama bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi jiwa, akhlak dan sahsiahnya turut cemerlang. Sesungguhnya masyarakat di luar sana ternanti-nanti, bilakah mahasiswa akan turun menghulurkan bantuan dan dorongan kepada mereka.

Para pembaca sekalian,

Izin kan saya menyingkap dan membandingkan betapa jauhnya jurang dakwah kita pada hari ini dengan perjuangan Rasulullah s.a.w. Selepas peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah memulakan langkah dengan lebih kehadapan menyampaikan seruan Islam di Taif, mengajak pemimpin bani Tsaqif beriman kepada Allah setelah melihat bumi Makkah tidak dapat menerima Islam pada ketika itu. Tiba-tiba bani Tsaqif ini lebih jahat daripada pemimpin yang ada di Makkah lagi. Di riwayatkan batang tubuh Rasulullah yang mulia bersama dengan anak angkatnya, Zaid Bin Haritsah r.a mendapat luka hingga menitiskan darah setelah dilontar dengan batu oleh anak-anak muda di Taif. Kemudian Rasulullah s.a.w mengundurkan diri buat sementara dan beteduh di bawah pohon anggur lalu bermunajat kepada Allah, dengan munajatnya yang mashur;

Mafhum nya;

”Ya Allah tuhanku, aku mengadu kepadamu lemahnya aku, tiadanya kekuatan, tiadanya helah daripadaku, engkaulah tuhan orang yang lemah tertindas, engkaulah tuhanku. Kepada siapa engkau serahkan aku ini, adakah engkau serahkan aku kepada orang yang jauh, yang tidak mengenaliku ataupun musuh yang mencari peluang untuk membuat apa sahaja kepadaku. Jika sekiranya tiada murkamu nescaya aku tidak peduli....”

Walaupun jasadnya sudah berdarah, dihentam oleh musuh-musuh Islam, nabi kita Muhammad s.aw tetap menunjukkan kesabaran yang tinggi, menunjukkan jiwa yang besar, yang berbeza daripada rasul-rasul yang lebih dahulu daripada Baginda. Inilah perbandingan dan pengajaran yang perlu kita lihat secara bersama. Semoga kisah pendek ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada diri saya sendiri dan kepada golongan yang membawa risalah Islam supaya istiqamah dalam membawa Islam itu sendiri.

Rakan-rakan sekalian,

Saya juga menyambut baik dengan pindaan terhadap AUKU di bawah kepimpinan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Khaled Nordin yang memberi sedikit kelonggaran kepada mahasiswa untuk terlibat sama dalam politik sebenar. Walaupun ia tidak bersifat total, tetapi sedikit ruang telah dibuka. Tahniah diucapkan.

Saya tertarik dengan kata-kata Bapak Natsir, salah seorang tokoh di Indonesia berkata;

“Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.” – Bapak Natsir

Akhir kata sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ajk KKKI ’08 dan semua yang telibat memberi komitmen dalam menjayakan program pada kali ini. Mewakili semua ajk KKKI’08 saya memohon kemaafan jika terdapat kesalahan dan kekurangan sama ada kami sedari ataupun tidak disepanjang karnival ini berlangsung. Semoga amal yang sedikit ini, menjadi bukti kita di hadapan Allah s.w.t di hari pembalasan nanti, Insya’ Allah. Wallahu’aklam.

”Mesra Masyarakat Melalui Seni & Budaya Islam”


No comments: