Thursday, September 18, 2008

Hantu dan Jembalang

Kepenatan bulan Ramadhan memang dirasai. Tapi apalah sangat kita ni, kalau nak banding dengan zaman Rasulullah, berperang dalam bulan Ramadhan. Sekarang, dengan siapa kita berperang?. Sedar tak sedar. hari ni dah 18 hari telah berlalu ramadhan. Ingat-ingatlah nasib sahabat kita di luar negara sana.


Hujung minggu baru ini (Ahad) sempat juga aku ikuti satu bengkel “Rawatan Alternatif” bertempat di kampus sendiri, mengetahui serba sedikit tentang alam ghaib (jin dan syaitan). Banyak juga ilmu yang aku dapat. Tapi tidak semua yang aku bersetuju dan berkenan. Dalam sesi rawatan(sebelah petang) tu, mula-mula ok lagi. Tapi makin lama, makin boring + geram dengan perangai makhluk halus ini. Sebab itulah aku tak mahu belajar dengan lebih mendalam. Cukup lah untuk diri aku dan orang-orang terdekat. Kerana syaitan ini memang tugasnya menyesatkan manusia. Jangan sampai kita terikut-ikut dengan nya…


RAMADHAN DAN PALESTIN


Nun di sana, saudara seakidah dengan kita sebagai seorang Islam atau atas dasar sifat kemanusiaan bagi bukan Islam, rakyat Palestin berada di dalam penindasan yang berterusan sehingga 60 tahun lamanya. Seolah-olah negara-negara Islam tidak melihat apa yang sedang berlaku di sana termasuklah negara jiran terdekatnya iaitu Mesir. Negara yang dahulunya adalah milik umat Islam tetapi dengan rakus, pihak zionis menguasainya melalui peperangan, pembunuhan dan perampasan tanah yang berterusan. Kedatangan ramadhan disambut oleh mereka sebagaimana persediaan yang dilakukan oleh umat Islam lain dengan penuh kesyukuran dan pengharapan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah swt agar kemenangan akhirnya akan menjadi milik umat Islam. Allah boleh sahaja memberikan kemenangan sebagaimana burung ababil melontarkan batu-batu kecil kepada tentera bergajah Abrahah dan begitu juga Allah berkuasa untuk menenggelamkan manusia yang zalim sebagaimana yang dilakukannya kepada pengikut nabi Nuh malah Allah sangat berkuasa untuk menebalikkan bumi yang dhuni oleh manusia zalim sebagaimana yang dilakukan kepada kaum nabi Luth. Semuanya itu menunjukkan kekuasaan Allah dan pada masa yang sama juga Allah boleh sahaja menghantar bala tenteranya membantu rakyat Palestin yang sedang berjuang dengan penuh kegigihan sehingga akhirnya zionis lenyap di atas muka bumi ini. Kenapa ianya tidak berlaku di bumi yang penuh dengan keberkatan ini. Mungkin pertanyaan ini akan berlegar di fikiran ramai di kalangan umat Islam. Tidakkah ini merupakan satu ujian dan dugaan untuk umat Islam berfikir siapakah di kalangan mereka yang benar-benar berada dalam naungan Islam atau yang bersekongkol dengan zionis yang zalim. Tidakkah ini juga sebagai saringan kepada umat Islam untuk mengetahui siapakah di kalangan mereka yang benar-benar bersama dengan para pejuang kebenaran atau bersama-sama dengan mereka yang berada dalam kebathilan.


Ramadhan Satu Kemuliaan


Umat Islam yang menyedari hakikat kelebihan ramadhan dan tidak mahu dirinya termasuk dalam golongan yang bersekongkol dengan rejim zionis akan berusaha untuk membantu rakyat Palestin. Rakyat Palestin merupakan rakyat yang wajib dibantu tidak kira siapa kedudukan kita dan di mana kita berada. Jika masyarakat Barat berusaha membantu mereka atas dasar peri kemanusiaan, kenapakah kita sebagai umat Islam tidak rasa bertanggungjawab membantu mereka atas dasar satu akidah, ukhwah Islamiyyah dan peri kemanusiaan.. Kemuliaan ramadhan dengan ganjaran pahalanya perlu direbut apatah lagi memberi makan kepada orang yang berpuasa. Tidakkah Rasulullah SAW bersabda;

Maksudnya;


“Barangsiapa yang melakukan satu amalan kebaikan padanya, maka baginya ganjaran seumpama melakukan satu amalan fardhu....” “ Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap dosa-dosanya, diselamatkan batang tengkuknya dari api neraka dan baginya ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa berkurang walau sedikit pun”.


Peluang terbuka luas kepada kita untuk berbakti dan mendapat ganjaran pahala disisi Allah apatah lagi kepada mereka yang wajib menerimanya iaitu rakyat Palestin. Mereka adalah wakil umat Islam yang sedang berjuang berhabis-habisan bagi menghadapi pencerobohan dan penindasan yang berterusan oleh rejim zionis. Itulah sebabnya Dr Yusuf Qardawi menyatakan duit riba pun halal untuk diberikan kepada mereka. Semuanya atas dasar keperluan mendesak yang mereka perlu terima disebabkan kesengsaraan yang dialami apatah lagi di saat negara-negara umat Islam membisu terhadap kejadian Holocust kedua yang berlaku di Semenanjung Ghaza.


Kemenangan-kemenangan umat Islam banyak berlaku di bulan yang penuh barakah ini. Tidakkah Badar menyaksikan bilangan yang sedikit mengalahkan bilangan yang ramai! Gambaran ini jelas sedang berlaku kepada rakyat Palestin yang berjuang dengan kebenaran. Mereka dikelilingi oleh rejim zionis yang disokong oleh kuasa besar dunia tetapi tetap mempertahankan walau seinci bumi ini daripada terus dinodai oleh najis Yahudi. Perjuangan mereka tidak boleh dikhianati melalui pengiktirafan kewujudan negara haram ini dan ramadhan perlu diinsafi bahawa perjuangan membebaskan tanah air umat Islam ini perlu dkongsi bersama oleh seluruh umat Islam. Janganlah ada yang mengkhianati perjuangan mereka untuk membebaskan Palestin. Allah memperigatkan kita melalui firmannya dalam surah al-Anfal ayat 27: Mafhumnya;


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu sedang kamu mengetahui”


Hulurkan bantuan


Para pejuang kebenaran di Palestin wajib dibantu kerana mereka sebenarnya pahlawan-pahlawan Islam yang tidak rela walau seinci pun tanah mereka dikuasai oleh zionis. Mereka berusaha dan terus berusaha dengan penuh strategi dan tawakkal kepada Yang Esa agar kemenangan mutlak akan dicapai oleh mereka. Tidakkah menjadi satu kerugian kepada umat Islam jika tidak membantu mereka apatah lagi merekalah yang mengimarahkan Masjid al-Aqsa kiblat pertama umat Islam. Di saat umat Islam di Malaysia berbuka puasa di masjid atau rumah dengan juadah yang bermacam-macam, rakyat Palestin mengharapkan bantuan agar pengimarahan Masjid al-Aqsa dengan program berbuka puasa di kawasan yang penuh keberkatan ini dapat dilaksanakan. Ketika kita menjamu selera dengan aman tenteram, rakyat Palestin berbuka puasa dihadapan tentera zionis yang sentiasa mengacu rifel dan meriam kereta kebal mereka. Keperitan ini terpaksa ditelan oleh mereka dengan penuh kesabaran dan pengharapan sempena kedatangan ramadhan kali ini kerana mereka berkeyakinan bahawa Palestin akan dibebaskan sebagaimana dilakukan oleh Solahuddin al-Ayyubi yang membebaskan Palestin daripada cengkaman dan penindasan tentera-tentera salib. Mereka pasti, berita kemenangan ini semakin dekat! Semoga Palestin hidup di hati umat Islam sempena Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Insya’ Allah saya akan menjadi wakil BADAR (Mahasiswa Islam) KAL akan menghulurkan sedikit sumbangan kepada wakil NGO Aman Palestin bagi disalurkan kepada Ummat Islam Palestin. Kepada yang ingin memberi sumbangan, masih boleh boleh berurusan terus dengan saya atau presiden BADAR sendiri, saudara Hasli Halida atau saff-saff kepimpinan BADAR yang lain.


Sumber: http://www.amanpalestin.org

No comments: